PETALING JAYA: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, beliau tidak berhasrat untuk campur tangan dalam hal ehwal Wisma Putra berhubung kenyataan yang dibuat oleh Duta Besar China di Petaling Street. Beliau mengakui membuat kesilapan apabila menganggap Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil keputusan sendiri untuk memanggil Dr Huang Huikang untuk memberi penjelasan. "Saya tidak tahu bahawa Menteri Luar telah mengarahkan timbalannya. "Amalan biasa dalam Kabinet apabila seorang menteri tidak ada di dalam negara, hanya menteri lain boleh bertindak bagi pihaknya dan bukan timbalan menteri," katanya kepada The Star Online dari Turki pada Selasa. Kata Nazri beliau beranggapan menteri luar tidak membuat keputusan memanggil Dr Huang kerana pada ketika itu Datuk Seri Anifah Aman berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Wisma Putra sebelum ini memanggil Dr Huang berhubung kenyataannya yang dianggap sebagai campur tangan dalam isu domestik negara. Ketika satu lawatan di Jalan Petaling, sebuah pusat pelancongan popular yang turut dikenali sebagai Chinatown, Dr Huang dilaporkan berkata negara China mengecam golongan yang menggunakan keganasan dalam usaha mengganggu ketenteraman awam. Anifah sebelum ini melahirkan rasa dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu. "Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil Duta China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau," katanya. Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain. "Sebaliknya, campur tangan mereka (menteri-menteri lain) telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. "Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang," tambah beliau. Pada Isnin, Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya.