suria

Murtad: Rahim Thamby Chik Akui Tidak Semak Fakta

PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik membuat permohonan maaf secara terbuka - yang ketiga dalam tempoh empat hari berhubung dakwaannya bahawa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah murtad.

Permohonan maaf terbaharu Rahim yang kini bersara daripada politik dimuat naik di status Facebook miliknya kira-kira pukul 6 petang Selasa.

Ia merupakan pernyataan maaf versi Bahasa Malaysia selepas beliau sebelum ini mengemukakan permohonan maaf terbuka dalam bahasa Inggeris pada petang Isnin.

"Mengenai penulisan saya dalam Twitter dan FB mengenai DYTM Raja Muda Selangor menukar agama kepada Katholikisme, saya mengaku ini adalah daripada sumber yang tak dapat ditentukan kesahihannya.

"Saya dengan ikhlas memohon maaf diatas ketidakselesaan dan kesulitan yang munkin dirasai oleh DYMM Sultan Selangor, DYTM Raja Muda Selangor dan Istana Selangor," katanya.

Rahim yang juga Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Selangor (Gabem), sebelum ini turut mendakwa Sultan Selangor, Sultan Sharaduddin Idris Shah akan mengadakan pertemuan dengan Pope Vatican City.

Sehingga kini belum dapat dipastikan sama ada Istana Selangor akan menerima permohonan maaf Rahim atau tidak.

Majlis Dewan Diraja Selangor dijadual mengadakan pertemuan hari ini (Rabu) dan isu berkenaan dijangka akan turut dibincangkan.

Sumber istana berkata jika Rahim seorang yang tidak begitu mudah tertipu dan bertanggungjawab untuk menyemak maklumat, beliau akan mengetahui bahawa cerita penukaran agama itu datang dari sebuah laman web satira yang dikenali 'World Daily News Report'.

Laman web itu terkenal dengan laporan seperti 'wanita Brazil diculik oleh makhluk asing dan kembali dalam keadaan hamil'.

Dua laporan polis dibuat mengenai perkara itu iaitu oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor, Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.

Media ini pada mulanya tidak pasti sama ada akaun Facebook yang berkenaan adalah milik Rahim kerana nama pemilik ditulis sebagai 'Rahim Tamby Chik'.

Bagaimanapun seorang ahli keluarganya kemudian mengesahkan bahawa ia adalah akaun tulen milik Rahim.

Artikel Berikut

Artikel Lain