Menurut Maizun Abdul Hamid, 53, Maisarah Zainol, anak ke-10 daripada 11 beradik itu, kali terakhir dihantar abangnya, Zamri, 25, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, pada 22 Sept lepas, untuk mengikuti kelas tambahan.
Anaknya itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memakai baju-T sekolah berwarna merah dan seluar berwarna hitam ketika ke kelas tambahan itu, katanya.
"Kira-kira 12 tengah hari, saya pergi ke sekolah untuk menjemputnya tetapi dimaklumkan rakan-rakannya dia tidak mengikuti kelas, malah kelibatnya juga tidak kelihatan di sekitar kawasan sekolah," katanya kepada media di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda, dekat sini, Rabu.
Katanya, sudah sembilan hari anaknya hilang tanpa khabar berita dan beliau bingung kerana tidak ada perselisihan faham dalam keluarga sebelum ini yang mungkin menyebabkan remaja itu merajuk.
"Ada kenalan yang memaklumkan terlihat dia di tempat-tempat tertentu, namun setelah kami mencarinya di sana, ternyata dia tiada," katanya dan menambah, keluarga tidak akan berputus asa dalam usaha mengesan anaknya itu.
Maizun berkata suaminya telah membuat satu laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda pada 24 September berhubung kehilangan anaknya itu tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut.
"Sejak kehilangannya, tidur malam tidak lena, malah selera makan juga kurang. Hampir setiap hari saya menangis apabila terkenangkannya. Di mana dia berada, dengan siapa?," katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat atau terlihat Maisarah di mana-mana, boleh menghubungi talian 017-480 8517, katanya.