KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang disyaki menipu 153 orang, termasuk warga asing, untuk menyerahkan wang RM20,267 berhubung sukan ekstrem yang tidak wujud. Acara itu, yang dinamakan 'Borneo Mud Challenge', dijadual berlangsung pada 27 September di Penampang. Namun begitu, 'penganjur acara' menghilangkan diri bersama wang itu. Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata 29 laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit yang turut mendakwa menjadi pengarah sebuah syarikat. Sejumlah 21 laporan dibuat di Kota Kinabablu dan bakinya di Keningau, Penampang, Tuaran dan Lahad Datu. Chandra berkata siasatan awal mendapati lelaki yang menghilangkan diri itu mengutip yuran pendaftaran sekitar RM80 hingga RM840 daripada bakal peserta tempatan dan asing antara April dan bulan ini. Chandra memberitahu persidangan berita di sini hari ini, meskipun kes itu melibatkan banyak mangsa dari luar negara namun setakat ini polis belum menerima sebarang laporan rasmi daripada mereka. "Kami masih menunggu lebih banyak mangsa untuk tampil membuat laporan," katanya. Beliau berkata mangsa mendakwa telah memasukkan bayaran yuran itu ke dalam akaun peribadi Maybank dan akaun PayPal yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Menurut Chandra, mangsa mula meragui kesahihan acara sukan itu apabila usaha untuk menghubungi 'penganjur kejohanan' menemui jalan buntu, manakala laman web 'Borneo Mud Challenge' dan aplikasi media sosialnya tidak boleh diakses sejak bulan ini. Selain itu, tiada permit dipohon untuk penganjuran sukan berkenaan, katanya. Sementara itu, polis ingin menghubungi Jonathan John Jipil, 29, dan Ng Chee Hui, 22, untuk membantu siasatan.