suria

4.5 Juta Kanak-Kanak Hilang Tempat Tinggal Ekoran Konflik Di Lima Negara

Unicef turut menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak Somalia yang berhadapan pelbagai masalah susulan konflik di negara itu.

KUALA LUMPUR: Konflik dan ketidakstabilan di Syria, Afghanistan, Somalia, Sudan dan Sudan Selatan mengakibatkan perpindahan sekurang-kurangnya 4.5 juta kanak-kanak, kata Unicef menjelang mesyuarat peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai krisis migran dan pelarian global.

Sejak awal 2015, lebih setengah juta orang telah merentasi Mediterranean untuk masuk ke Eropah dengan satu perlima daripada mereka yang tiba di perairan Eropah adalah kanak-kanak.

"Sama ada mereka melarikan diri melalui jalan laut atau darat, mereka lazimnya bergantung kepada belas kasihan penyeludup dan terpaksa menanggung kesan fizikal dan psikologi akibat perang, kehilangan tempat tinggal serta permusuhan," kata Afshan Khan, Pengarah Program Kecemasan Unicef.

Kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal ini memerlukan respons yang komprehensif, sepakat dan mapan, katanya.

Afshan berkata Unicef terus komited dalam menyediakan sokongan yang amat diperlukan semasa kanak-kanak terbabit melakukan perjalanan ke arah memburu masa depan lebih terjamin.

Di Syria, Unicef menyediakan bekalan air, sanitasi, suntikan vaksin dan sekolah, manakala di Eropah pula agensi itu mewujudkan ruang mesra kanak-kanak dan bekerjasama dengan negara tuan rumah dalam menyediakan kemudahan terbaik buat mereka.

Di negara membangun, Unicef membantu menangani punca wujudnya kemiskinan dan kekurangan peluang.

Bersempena mesyuarat PBB itu, Unicef akan menganjurkan Twitter bergilir-gilir hari ini (@Unicef, 8 pagi EST) untuk membawa luahan hati empat kanak-kanak Syria yang kini tinggal di Austria, Jordan dan Turki.-- Bernama



Somalia, Sudan, Unicef

Artikel Sebelum

Artikel Lain