suria

Dua Anggota Polis Cedera Ditembak Suspek Pengedar Dadah

KOTA KINABALU: Dua anggota polis cedera ditembak dipercayai dilakukan oleh seorang suspek pengedar ketika sedang menahan seorang lagi suspek dalam satu serbuan di Jalan Sepanggar dekat Pusat Komersial Salut di sini, Khamis.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 petang itu, Sarjan Mejar Sabturani Maul mengalami kecederaan di kepala manakala rakannya, Konstabel Tong Wilson cedera di bahagian kepala, hidung dan badan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dua anggota polis berkenaan dikejarkan Hospital Queen Elizabeth 2 untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, anggota polis dipercayai terkena tembakan yang diperbuat daripada senapang buatan sendiri.

Mengenai insiden itu, Jalaluddin berkata, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menahan salah seorang suspek yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dalam satu serbuan yang dijalankan.

Katanya, seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri ke arah sebuah bukit di kawasan itu.

Semasa pemeriksaan dilakukan ke atas suspek terbabit, beberapa das tembakan dilepaskan terhadap dua anggota polis berkenaan.

Jamaluddin berkata, lelaki yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan pihak polis menemui dua paket mengandungi dadah jenis syabu.


Artikel Lain