suria

"Sebagai Ahli Umno, Saifuddin Tak Patut Hadir Majlis Pembangkang"

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Sebagai ahli Umno, Datuk Saifuddin Abdullah sepatut mempertimbangkan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran gabungan terbaharu pembangkang, Pakatan Harapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara peribadi beliau berpendapat tindakan itu tidak seharusnya berlaku.

"Sebarang tindakan terhadap Saifuddin terpulang kepada Lembaga Disiplin yang diketuai Tan Sri Megat Najmuddin yang berpendapat tidak salah untuk mana-mana ahli Umno menghadiri majlis yang dianjurkan parti politik lain.

"Tetapi bagi saya secara peribadi, ia tidak seharusnya berlaku.

"Ia pandangan peribadi saya, tetapi jika pengerusi Majlis Tertinggi Umno tidak bersetuju dengan Megat, jadi Saifuddin perlu menjawab kepada majlis," katanya.

Berdasarkan struktur Lembaga Disiplin Umno, ia dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail , manakala Tribunal Siasatan Lembaga Disiplin diketuai Megat Najmuddin Megat Khas dan Panel Rayuannya pula dipengerusikan Tan Sri Sabaruddin Chik.

Kehadiran Saifuddin pada sidang meja bulat pembangkang yang berlangsung pada 22 September mencetuskan kritikan di kalangan pemimpin Umno.

Beliau bagaimanapun menafikan terbabit dalam gabungan pembangkang itu dan memaklumkan kehadirannya atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.

Artikel Berikut

Artikel Lain