ASSALAMUALAIKUM. Selesai menyempurnakan ibadat haji, jemaah berehat seketika. Semua tampak lesu namun solat berjemaah tetap diteruskan terutama ketika solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Saya pula tidak berlengah untuk bertemu nenek. Sekembali dari Arafah pada 19 Mac 2000 bersamaan 13 Zulhijah, saya berjumpa nenek pada keesokan harinya. Saya maklumkan kepada rakan-rakan jemaah sebilik bahawa akan tidur di Hotel Makkah bersama-sama nenek dan ibu saudara, makcik Zakiah. Saya masukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg kecil untuk dibawa ke Hotel Makkah. Tiba di paras sembilan dan sejurus mengetuk pintu bilik 912, kak Jah membuka pintu. Saya lihat nenek begitu letih dan wajahnya pucat tidak bermaya. Ibu saudara sedang menggantung pakaian yang baru selesai dicuci. “Kenapa nenek?” tanya saya. “Tak sihat,” jawab nenek ringkas. Nenek hanya baring di atas katil manakala makcik Zakiah maklumkan bahawa nenek tidak selera makan. Nenek jadi begitu selepas menyempurnakan saie haji di antara Safa dan Marwah. Tubuhnya yang kurus saya lihat semakin tidak berdaya. Saya dan ibu saudara memujuk beliau supaya makan agar kembali bertenaga. Berkali-kali saya bertanya apa yang nenek hendak makan dan saya akan membelinya di mana-mana restoran berhampiran. Namun, nenek menggelengkan kepala sahaja. Ibu saudaraku meminta nenek berehat dan tidur. Nenek tidak mengikut saya dan makcik Zakiah ke Masjidil Haram untuk solat. Kami menasihatkannya agar berehat manakala nenek menyuruh saya dan ibu saudara menunaikan solat di masjid dan meninggalkkannya sendirian. Saya dan ibu saudara menunaikan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di Masjidil Haram. Usai solat Isyak, kami ke Hotel Makkah dan mendapati nenek masih lemah. Ibu saudara mengambil makanan untuk nenek dan menyuruhnya makan tetapi nenek enggan. “Ana belikan nenek kentang di KFC boleh tak?” tanya nenek. “Boleh….nenek nak apa lagi?” tanya saya. “Itu saja. Nenek terasa nak makan kentang tu,” balas nenekku ringkas. Tanpa berlengah saya meminta diri untuk ke KFC dan membeli kentang goreng yang dipesan oleh nenek. Saya berjalan pantas ke Hotel Hilton di Makkah kerana di situ terletaknya cawangan KFC dan beberapa makanan segera yang lain. Saya membeli set hidangan malam yang turut tersedia kentang goreng dan air di dalam tin selain tiga ketul ayam untuk dibawa pulang ke Hotel Makkah. Setibanya di Hotel Makkah, saya memujuk nenek agar makan kentang goreng yang dibeli dan tanpa berlengah nenek terus menikmatinya. Nenek tidak makan ayam. Jadi, beliau hanya makan kentang, manakala ayam saya berkongsi dengan ibu saudara. Alhamdulillah, nenek berselera makan dan selesai menikmatinya, beliau tidur. Lega melihat nenek tidur dan berselera makan. Saya tidur di Hotel Makkah pada malam itu bersama-sama nenek di atas katil beliau. Namun begitu, selesai menunaikan solat Subuh di Masjidil Haram, saya dan ibu saudara terkejut melihat nenek yang semakin tidak berdaya. Nenek kelihatan sangat lemah. Kebimbangan jelas terpancar pada wajah makcik Zakiah. Beliau memaklumkan kepada pengurusan agensi pelancongan bahawa nenek memerlukan rawatan lanjut kerana tidak berdaya dan tiada selera makan minum. Saya di dalam bilik menemani nenek bersama-sama kak Jah dan beberapa jemaah lain. Tidak lama selepas itu, ibu saudara dan suaminya membawa kerusi roda ke dalam bilik 912. “Ibu, ibu kena pergi hospital. Osman bawa ibu. Nanti kami ikut,” kata makcik Zakiah. Nenekku tidak membantah dan hanya menurut. Beliau tunduk lesu di atas kerusi roda yang akan disorong oleh pakcik Osman. Pakcik Osman, makcik Zakiah dan saya bersama-sama ke Hotel Aziz Koeger (sudah dirobohkan) dan kini tersergam Hotel Safwa Royale Orchid untuk mendapatkan surat rujukan daripada pengurusan kesihatan yang bertanggungjawab ke atas jemaah warga Singapura. Selepas mendapatkan surat rujukan, kami membawa nenek ke Ajyad General Hospital (sudah roboh) dan kini dibangunkan tandas lelaki dan wanita. Dalam cuaca panas kering dan berangin itu, pakcik Osman, makcik Zakiah dan saya menemani nenek ke hospital berkenaan. Sejurus tiba di hospital, pakcik Osman dilarang untuk memasuki ruang yang menempatkan pesakit wanita. Pesakit wanita diasingkan daripada pesakit lelaki, hatta ketika pendaftaran. Malah, yang mengendalikan pesakit wanita juga perlu wanita sebagai pengiring. “Osman boleh balik dulu. Biar kita yang tunggu ibu di hospital,” pinta makcik Zakiah. Pakcik Osman pulang dengan berat hati. Beliau memandang wajah ibu mentuanya yang disorong sebelum itu. Mungkin beliau sendiri tidak terfikir bakal berhadapan dengan situasi seumpama itu, apatah lagi baru kali pertama menjejakkan ke Tanah Suci. Makcik Zakiah mendaftarkan nama nenek di kaunter klinik manakala saya pula menemani nenek yang tunduk layu tidak bermaya. “Nenek. Sabar ye nek. Sekejap lagi doktor panggil,” ujar saya. Nenek diam tidak berkata. Hati terasa sayu melihat nenek berkeadaan sedemikian. Tidak pernah terfikir saya bakal melalui pengalaman membawa nenek ke hospital. Namun, saya dan makcik Zakiah perlu sabar dan tabah dalam melalui situasi yang begitu asing bagi kami. Keadaan di hospital itu sangat sibuk. Jururawat tidak menang tangan melayan panggilan dan kemasukan pesakit iaitu jemaah haji dari seluruh pelosok dunia. “Hawa Salleh,” panggil jururawat wanita. Saya terus menyorong kerusi roda nenek untuk masuk ke dalam bilik bagi menerima rawatan. Begitu juga makcik Zakiah yang sama-sama memasuki bilik doktor yang turut kelihatan beberapa pesakit sedang menerima rawatan daripada doktor lain. Doktor memeriksa nenek agak teliti. Beliau bertanya mengenai ubat-ubatan yang diambil oleh nenek dan masalah kesihatan. Makcik Zakiah menyatakan bahawa nenek hanya menghidap penyakit darah tinggi dan sudah mengambil ubat itu untuk betahun-tahun. Beliau juga menceritakan kepada doktor bahawa nenek mula lemah sekembali daripada mengerjakan saie haji dan tidak selera makan. Doktor kemudiannya memeriksa tekanan darah dan mengambil sedikit darah untuk mengukur paras glukos. Doktor kemudiannya menyarankan agar nenek dimasukkan ke wad untuk memantau tahap kesihatannya dengan lebih lanjut. Kami memujuk nenek agar tinggal di hospital untuk menerima rawatan seterusnya dan Alhamdulillah beliau patuh. Urusan di hospital tidaklah begitu lama walaupun kami perlu menunggu jururawat menentukan katil untuk setiap pesakit. Kami juga dilarang untuk menemani nenek di hospital. Sedih meninggalkan nenek sendirian. Sejurus mendapat katil, nenek terbaring lesu dan beberapa minit kemudian memanggil saya. “Ana, nenek nak pergi bilik air,” katanya. “Boleh. Ana temankan,” balas saya. Tiba di depan tandas, nenek menyuruh saya berdiri di luar dan dia mahu masuk ke dalam tandas. “Biarlah Ana masuk sekali dalam tandas. Lagipun besar tandas ni,” ujar saya. “Tak apa. Nenek boleh urus sendiri,” balas nenek. “Nenek tak boleh sendiri. Biar Ana ikut. Nenek jangan malu,” kata saya lagi. Saya terus masuk ke dalam tandas bersama-sama nenek dan menguruskannya. Saya bimbang sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana nenek tidak berdaya dan kelihatan sungguh lemah. Justeru, tidak mahu membiarkannya bersendirian. Saya dan makcik Zakiah menghabiskan banyak masa di dalam hospital. Syukur tiada pula larangan daripada pihak hospital kecuali tidak boleh bermalam di hospital berkenaan untuk menemani pesakit. Mungkin disebabkan jumlah pesakit yang bertambah kerana musim haji dan jika semua waris menemani pesakit, hospital pasti sesak, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada semua. Kami meninggalkan hospital untuk bersolat di Masjidil Haram kerana hanya pesakit dibenarkan solat di dalam hospital manakala pengunjung atau waris perlu solat di masjid yang terletak begitu hampir dengan hospital berkenaan. Saya tidak bermalam di Hotel Makkah tetapi pulang ke Dar Al-Haramain kerana jarak tempat penginapan saya lebih hampir dengan Ajyad General Hospital dan ini memudahkan saya untuk menziarahi nenek pada keesokan hari. Tiga hari nenek di hospital dan doktor mengesahkan bahawa nenek menghidap diabetes, selain tekanan darah tinggi. Ubat-ubatan turut dibekalkan kepada nenek. Alhamdulillah nenek kelihatan beransur pulih dan agak bertenaga semula. Bermula 23 Mac, saya tidur di Hotel Makkah menemani nenek dan hanya pulang ke Dar Al-Haramain pada 31 Mac iaitu ketika nenek, makcik Zakiah dan semua rombongan jemaah agensi pelancongan itu menziarahi Madinah. Sedih terpaksa berpisah dengan mereka. Pada masa yang sama, jemaah KT44 juga bersiap sedia untuk pulang ke tanah air dan hati semakin hiba apabila mengenangkan Tanah Suci yang terpaksa ditinggalkan. Ikuti catatan saya minggu hadapan, insyaAllah.