suria

Asean Mahu Contohi Kejayaan Program Deradikalisasi Malaysia - TPM

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia melaksanakan program pemulihan dan deradikalisasi terhadap tahanan kes keganasan akan digunakan sebagai penanda aras bagi penyediaan prosedur operasi standard (SOP) Asean mengenai perkara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam persidangan antarabangsa mengenai deradikalisasi yang dihoskan Malaysia pada Januari depan.

"Malaysia akan menjadi tuan rumah persidangan deradikalisasi pada 25 dan 26  Jan depan, yang bakal disertai semua 10 negara anggota Asean serta lapan negara lain.

"..(perbincangan) ini termasuk pembentangan lapan kertas kerja yang meliputi aspek pemulihan, termasuk pemulihan daripada pendekatan psikologi, dan juga perbincangan mereka yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti keganasan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Asean Mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Ekstremisme Ganas (Sammrrave) di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mempunyai pengalaman meluas dalam menangani radikalisasi dan keganasan termasuk ketika pemberontakan komunis, dan kepakaran daripada program-program pemulihan itu boleh dijadikan rujukan bukan sahaja di peringkat Asean malah dunia.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan data yang disediakan Jabatan Penjara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam kementerian, keberkesanan program pemulihan Malaysia adalah amat cemerlang dengan kadar pemulihan sepenuhnya adalah 95 peratus.

"Hanya 5 peratus sahaja perlu ada tindakan susulan kerana mungkin mereka itu golongan yang tegar...yang perlu dilakukan bukan sahaja pendekatan psikologi, tapi pendekatan lain yang bersesuaian dengan individu itu," jelasnya.

Ditanya mengenai mesyuarat tertutup Sammrave, beliau berkata semua negara anggota Asean telah berkongsi pengalaman masing-masing dalam menangani masalah itu serta komitmen mereka untuk mengatasi isu itu.

Timbalan perdana menteri juga memberitahu bahawa pergerakan dan pengaruh kumpulan militan IS di rantau ini turut dibincangkan secara mendalam oleh para perwakilan.

Menurutnya negara-negara Asean bersetuju bahawa ideologi kumpulan militan harus dilihat sebagai ancaman sebenar kepada para penduduk rantau ini, dan ia perlu dibendung daripada menular.

"Kerana jika (pembendungan terhadap IS) tidak dilakukan, kita khuatir Islamophobia akan terus menghantui pemikiran negara-negara barat dan mereka yang tidak faham ajaran agama Islam sebenarnya.

"Usaha jangka panjang mesti dilakukan oleh komuniti antarabangsa, bukan sahaja untuk bendung tetapi akhirnya menghapuskan kegiatan ekstrem," kata timbalan perdana menteri.

Di Malaysia, Ahmad Zahid berkata bilangan mereka yang terbabit dengan keganasan menurun susulan langkah-langkah pencegahan agresif selain pemantauan berterusan oleh pihak polis.

Beliau berharap Malaysia dapat membendung masalah itu hingga mencapai sifar pengganas dengan pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015.

Mengenai Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 yang berakhir di sini semalam selepas berlangsung empat hari, Ahmad Zahid memuji komitmen setiap negara anggota Asean dalam usaha membendung penularan isu itu.

Beliau berkata, semua negara anggota pertubuhan itu bukan sahaja bersetuju  memulakan proses perkongsian maklumat dan risikan malah bersedia memberi dana untuk membantu mangsa-mangsa pemerdagangan manusia.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telah berjanji memberikan AS$250,000 kepada tabung amanah kemanusiaan Asean untuk membantu mangsa pemerdagangan manusia manakala Singapura bersetuju menyumbang AS$100,000 manakala negara-negara lain berjanji menyumbang tidak kurang daripada AS$50,000.

"Ini akan digunakan untuk membantu mangsa-mangsa pemerdagangan manusia bagi melakukan usaha pemulihan dan diberi bantuan perubatan serta kemudahan asas untuk keperluan mereka,"jelas beliau.

Sementara itu, beliau bagi pihak Sekretariat Asean, mengucapkan terima kasih kepada media Malaysia dan antarabangsa yang membuat liputan mesyuarat Asean itu.

"Liputan yang amat luar biasa telah diberikan kepada persidangan kali ini, dan ini memperlihatkan bahawa media di Malaysia dan antarabangsa telah memberikan keprihatinan tinggi terhadap usaha negara-negara Asean dalam melakukan beberapa tindakan.

"...terutamanya bagi melaksanakan kempen kesedaran secara besar-besaran bagi membendung aktiviti keganasan yang menjadi ancaman bukan konvensyenal kepada rantau ini," kata Ahmad Zahid.

AMMTC berakhir semalam dengan menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan manakala Sammrrave berkesudahan hari ini dengan negara-negara Asean bersetuju untuk berkongsi risikan dan pengalaman.-- Bernama








Asean, Ahmad Zahid Hamidi, Sammrrave

Artikel Lain