suria

Mayat Lelaki Ditemui Dalam Longkang Di Lebuhraya DUKE

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas, ditemui mati dalam longkang kecil di Kilometer 0.1 Lebuhraya Duke dari arah Ampang ke Tol Sentul, pada 11 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, mangsa, Danish Millan Sarath, 30, ditemui oleh peronda lebuh raya. 

Siasatan awal menunjukkan mangsa bekerja di sebuah firma di Hartamas, di sini dan dipercayai telah mati sejak dua hari lepas.

"Hasil pemeriksaan ke atas mayat menemui seutas jam tangan jenama Esprit, kad akses pintu dan sebelah kasut mangsa. 

"Terdapat rumah kongsi di hadapan longkang yang diduduki penduduk tetap Indonesia," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Munusamy berkata, alamat terakhir mangsa adalah Desa View Tower Condo, Melawati dan mangsa mempunyai dua orang anak.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kes dianggap sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat," katanya.

Artikel Lain