suria

Pertemuan Tertutup Zahid Dengan Pemimpin Umno P.Pinang Bukan Untuk Peralihan Kuasa

Ahmad Zahid (kanan) mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang pada Jumaat lalu. Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein (dua, kanan) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman (kiri). Foto Bernama

NIBONG TEBAL: Perjumpaan tertutup antara pemimpin tertinggi Umno antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang tiada Kaitan dengan peralihan kuasa dalam parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, perjumpaan pada Jumaat lepas itu adalah untuk membincangkan mengenai isu-isu semasa dan strategi mengukuhkan parti itu.

"Dalam perjumpaan dengan Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, itu, kami langsung tidak membincangkan mengenai peralihan kuasa dalam Umno.

"Perjumpaan tertutup itu bukan sahaja diadakan di Pulau Pinang sebaliknya di seluruh negara kerana pemimpin tertinggi parti mahu memberi penjelasan mengenai perkara-perkara berbangkit dan isu semasa kepada pemimpin peringkat negeri agar dapat diperjelaskan kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program MyRezekiFest 2015 peringkat Pulau Pinang di Dataran Dewan Perda, Sungai Acheh, di sini Ahad.

Perjumpaan yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai itu turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Zainal Abidin berkata, sekarang ini bukan masanya untuk membincangkan mengenai peralihan kuasa kerana Umno sedang menghadapi waktu sukar dan banyak perkara terutama isu-isu semasa perlu dijawab serta dijelaskan kepada rakyat.

Selain itu, katanya mereka turut membincangkan hala tuju parti dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Program gerak kerja untuk PRU14 perlu bermula dari sekarang dan kita perlu fokus serta memperhalusi teknik dan strategi yang digunakan bagi meningkatkan kepercayaan pengundi," katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Umno negeri yakin angka pengundi berdaftar di Pulau Pinang akan bertambah sebelum PRU-14 yang dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketika ini, ada 880,000 pengundi berdaftar di Pulau Pinang dan kami yakin dengan beberapa strategi yang telah dirangka jumlah itu akan bertambah dari masa ke semasa," katanya. - Bernama

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Lain