suria

Anggota TUDM Antara Tiga Maut Dalam Nahas

PEKAN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila keretanya dilapor bertembung sebuah kereta lain di Kilometer 84, Jalan Kuantan-Segamat dekat sini pagi Isnin.

Dua lagi mangsa dalam kereta sebuah lagi itu turut maut dalam kejadian 7.50 pagi itu.

Pegawai tentera tersebut dikenali sebagai Laskar Udara II, Muhamad Khairul Maslehan, 21, yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Parit Raja, Johor dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Pekan, DSP Amran Sidek, kemalangan  turut mengorbankan Muhamad Yunus Hanafi, 31, dan bapa saudaranya Osman Abu Bakar, 53, yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Pelabuhan Kuantan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas kereta jenis Proton Satria YANG dipandu anggota tentera berkenaan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza yang dinaiki  Muhamad Yunus dan Osman," katanya kepada pemberita di Unit Foresnik Hospital Pekan.

Beliau berkata jenazah Muhamad Khairul telah dituntut oleh pegawai serta anggota TUDM untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampungnya sementara jenazah Muhamad Yunus dan Osman dituntut isteri masing-masing sebelum dibawa pulang ke kediaman mereka di Desa Kenanga. - BERNAMA


kemalangan, TUDM

Artikel Lain