suria

Kerajaan Yakin Perjanjian Air Selangor Selesai 15 Oktober Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis usaha pengambilalihan aset Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan selesai seperti dijadualkan pada 15 Oktober ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Loo Took Gee berkata proses itu turut berjalan lancar seperti dirancangkan dengan beberapa prosedur perlu diteliti sebelum dapat diselesaikan.

"Tiada isu (yang berbangkit)...kita telah memeterai perjanjian tambahan. Semuanya berjalan lancar sekarang dan apa yang kita perlukan adalah supaya kerajaan Selangor mengemukakan aset itu seperti dilakukan sebelum ini.

"Semua langkah perlu diambil dan perkara berikutnya adalah untuk kerajaan Selangor mengambilalih operasi.

"Tidak wujud sebarang masalah, malah wang berkenaan sudah diserahkan kepada individu berkaitan dan pembayaran akan dibuat sebaik semua aset itu dikemukakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas perasmian Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2015, di sini, Isnin.

AEBF 2015 yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga Kali Ke-33, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit.

Pada 3 Oktober lepas, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Alid berkata PNHB dan Air Selangor sedang berbincang bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal membabitkan pengambilalihan syarikat berkenaan dan percaya ia dapat diselesaikan mengikut tarikh yang dipersetujui.

Pada 14 September lepas, Lembaga Pengarah PNHB bersetuju melanjutkan tempoh pengambilalihan buat kali kelapan, selama sebulan bermula 14 September sehingga 15 Oktober bagi membolehkan Air Selangor memenuhi syarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli bersyarat bertarikh 11 November 2014.

Loo berkata, usaha itu memakan masa berikutan ada beberapa prosedur yang perlu diteliti.

Sementara itu, pada sidang media, Dawos berkata pihak pengurusan Empangan Hidroelektrik Bakuk sedang meneliti satu cadangan berhubung pengagihan bekalan elektrik ke Semenanjung Malaysia yang ditangguhkan berikutan krisis kewangan Asia 1998.

Ini, katanya, akan membolehkan Semenanjung memiliki bekalan tenaga yang mencukupi.

"Ia adalah pelan asal pada 1996 apabila saya terbabit dalam usaha pemantauan projek Bakun itu.

"Penelitian Bakun itu turut melibatkan pemindahan bekalan tenaga dari Semantan, Sarawak ke Tanjung Piai, Johor," katanya.

Dawos berkata, selain Empangan Bakun, Sarawak juga baru-baru ini menyiapkan Empangan Murum yang memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 970 megawatt manakala Empangan Baleh Dam yang akan dimajukan, boleh menjana tenaga 2,000 megawatt. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain