suria

Askar Veteran Percaya Manfaat Angkat Berat Untuk Warga Emas

Pada usia 80 tahun, warga emas ini masih setia dengan senaman kesihatannya.
BUKIT MERTAJAM: Pada usia 80, Ng Chau Seng membuatkan ramai lelaki muda berasa malu - bukan sahaja dengan otot perut 'six-pack'nya tetapi juga dengan amalan senaman hariannya.

Sudah berambut kelabu, lelaki yang memenangi pingat emas di Kejohanan Angkat Berat World Master di Finland baru-baru ini bangun pada pukul 5 pagi setiap hari untuk mengambil makanan tambahan sebelum keluar berjogging.

Pada pukul 9.30 pagi, dia akan melakukan senaman memanaskan badan dengan mengangkat besi seberat 1.5kg, 700 kali senaman lutut dan 490 kali senaman mencangkung sebelum mengulanginya pada waktu petang di rumahnya di Taman Sungai Rambai.

Chau Seng yang merupakan ahli bina badan dan mengangkat berat sejak usia 14 tahun adalah seorang yang sangat percaya akan manfaat amalan angkat berat untuk warga emas.

"Saya selalu menasihati warga tua untuk bersenam. Berjalan atau mendaki tidak cukup. Warga emas perlu mengangkat berat. Usia tua boleh membuatkan kita lebih terdedah kepada kemalangan seperti terjatuh.

"Tetapi jika kita menjaga dan memastikan tubuh kita dalam keadaan baik, kita akan sentiasa kuat," katanya.

Mempunyai berat badan 70kg dan ketinggian 165cm, Chau Seng adalah pemenang pingat emas sebanyak empat kali dalam Kejohanan Angkat Berat World Master dalam kategori 60kg untuk peringkat umur 80-84 tahun.

"Saya masih menjadi peserta saingan angkat berat dalam kategori veteran, jadi saya gigih berlatih," katanya yang juga pernah menjadi juara tinju ketika berkhidmat dalam tentera dan bersara sebagai Pegawai Waran II.

Walaupun dengan senaman yang ketat, pesara yang sentiasa riang ini tidak mempunyai keperluan diet tertentu, sebaliknya percaya apa sahaja yang dimakan akan dibakar melalui senaman dan dengan mengambil makanan tambahan.

Bagi yang berminat untuk kekal sihat dan cergas, mereka berpeluang mendapatkan tip daripada pakar-pakar mengenai pelbagai isu kesihatan di acara FitForLife Fair Pulau Pinang 2015.

Dianjurkan oleh Star Media Group bersama Great Eastern Life sebagai rakan kongsi acara dan Nestle Omega Plus sebagai penaja kesihatan, di SPICE Arena, Bayan Lepas, dari 16  hingga 18 Oktober dan dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma.

Artikel Lain