KUALA LUMPUR: Setelah dilanda krisis selama 10 bulan, MIC akhirnya bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-68 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini pada 6 dan 7 November. Presidennya Datuk Seri Dr S.Subramaniam dalam laman Facebook beliau berkata mesyuarat tahunan itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Mesyuarat itu yang sepatutnya berlangsung pada 13 dan 14 Disember tahun lepas ditangguhkan atas arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS), yang mengarahkan parti itu mengadakan mesyuarat tahunan selepas membuat pemilihan baharu bagi tiga jawatan naib presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta lapan bahagian. RoS membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013 selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan. Sementara itu, Setiausaha Agung MIC A. Sakthivel ketika dihubungi Bernama hari ini berkata MIC menetapkan 18 Oktober ini bagi pemilihan sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti itu. Setakat ini, MIC telah mengadakan pemilihan peringkat cawangannya pada Julai, pemilihan jawatan Presiden pada 21 Ogos dan pemilihan peringkat bahagian pada September lepas. Dr Subramaniam menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden MIC dalam pemilihan semula penggal 2013-2016. - BERNAMA