JOHOR BARU: Persidangan 'Love and Sex with Robots' (Cinta dan Seks Dengan Robot) di Iskandar Malaysia mengundang kemarahan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri. Pejabat pelancongan negeri menafikan telah diadakan rundingan mengenai persidangan itu dan cubaan untuk menghubungi penganjur bagi membincangkan isu undang-undang, moral dan etika terhadap topik itu tidak berjaya. Menurut laman sesawang penganjur, persidangan itu sepatutnya diadakan pada 16 hingga 19 November di Iskandar Johor. Namun, tiada senarai nombor tempatan atau luar negara untuk dihubungi dan e-mel kepada dua penceramah persidangan itu juga tidak dijawab. Satu klik pada pautan di laman sesawang itu kemudian membawa pengunjung kepada laman web lain - Advances in Computer Entertainment Conference di mana tertera juga lokasi acara dan logo Kementerian Pelancongan. Penolong pengarah Jabatan Pelancongan Johor, Amirrul Asyraf Ibrahim berkata kelulusan untuk acara seperti itu bukannya mudah dan biasanya akan ditolak kerana ia menyentuh isu sensitif. "Penganjur perlu memohon permit dari pejabat daerah dan kerajaan negeri sebelum mengadakan apa-apa acara. Jabatan kami hanya memudahkan acara dan sebagainya, dan setakat ini kami belum dihubungi," katanya di sini, Ahad. Tambah Amirrul, beliau diberitahu bahawa penganjur sudah berhubung dengan dengan pejabat Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di bawah nama lain iaitu Advance in Computer Entertainment Conference (ACE 2015). "Tetapi sekarang, mereka menggunakan nama lain untuk mempromosikan persidangan itu. Mungkin mereka cuba menggembar-gemburkan perkara ini untuk tarik ramai peserta. Tetapi saya diberitahu pihak MyCEB menyuruh semua logo mereka dikeluarkan dan mengeluarkan surat tunjuk sebab pada minggu lepas," katanya. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan terkejut persidangan itu yang bertentangan dengan norma sosial akan diadakan di dalam negara. Dia turut terkejut laman sesawang penganjur menggunakan logo Tourism Malaysia untuk Tahun Festival Malaysia 2015. Semua logo dan lokasi acara sudah dikeluarkan. Menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), mereka tidak menyokong dan mempromosikan acara sebegini.