suria

BRT Laluan KL-Klang Dijangka Siap 2018

Bahagian tengah Lebuhraya Persekutuan akan menjadi laluan utama BRT KL-Klang.
PETALING JAYA: Laluan Bus Rapid Transit (BRT) yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang dijangka siap pada 2018, menurut pegawai pengangkutan.

Dirancang dibina di bahagian tengah Lebuhraya Persekutuan, pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun depan, dengan bahagian jalan akan diperluaskan untuk memastikan aliran trafik lancar.


"Kita akan meluaskan lebuh raya sebelum mengambil lorong untuk laluan BRT," kata Pengurus Bahagian BRT Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Norlela Osman, Isnin.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan status aliran BRT KL-Klang.

Abdul Aziz berkata, semua kerja-kerja pelebaran dan pembinaan BRT akan dilaksanakan pada masa yang sama.

Jarak laluan ini adalah kira-kira 34km, dengan kira-kira 25 stesen di sepanjang laluan.

Laporan Bank Dunia pada Jun menyatakan bahawa koridor Klang-Shah Alam-PJ menjadi laluan hampir satu juta kenderaan persendirian setiap hari pada waktu puncak sebelah pagi.

Ia adalah kedua tertinggi selepas Lebuhraya Lingkaran Tengah 1, yang di mana hampir 1.3 juta kenderaan persendirian lalu di situ dalam tempoh yang sama.

Norlela tidak menyebut bila tender untuk pembinaan laluan itu akan dibuka.

Kira-kira 80 peratus daripada laluan BRT KL-Klang akan dihubungkan dengan LRT (Transit Aliran Ringan) dan laluan kereta api KTM Komuter, dengan semua perhentian dihubungkan dengan perkhidmatan bas lain, kata Norlela.

Ketika ditanya sama ada Prasarana, yang mengendalikan RapidKL dan BRT laluan Sunway akan mengendalikan operasi laluan KL-Klang itu, Abdul Aziz berkata konsortium itu mungkin akan dilantik.

Beliau berkata Prasarana 'pasti terlibat' tetapi percaya bahawa pengendali semasa akan dimasukkan dalam konsortium bersama syarikat itu.

Norlela berkata koridor jalan yang menghubungkan KL ke Klang akan meliputi jarak keseluruhan 500km dan terdapat empat pengendali.

"Mereka (Prasarana) boleh menjadi pengendali utama ... kita tidak mahu pengusaha sedia ada ditinggalkan," katanya.

Laporan sebelum ini berkata, projek itu mungkin menelan kos RM1 bilion, dengan kemungkinan bilangan 600,000 penumpang harian.

Ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.5 juta penduduk di Lembah Klang.

Menurut SPAD, menaiki bas dari KL ke Klang sekarang ini memakan masa kira-kira 70 minit. Dengan BRT, perjalanan hanya akan mengambil masa kira-kira 40 minit.

Dilaporkan bahawa sejumlah 212,800 orang menggunakan bas dari KL ke Klang setiap hari.

Artikel Sebelum

Artikel Lain