KUALA LUMPUR: Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya. "Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu. Kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara pada Selasa. Menurut kenyataan tersebut, kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan. "Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia. "Menurut kenyataan itu, Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata. Ia juga dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara. "Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara. "Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu. Untuk itu, menurut kenyataan itu, badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti. Raja-raja juga mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi. "Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi. Baginda sekalian mengingatkan hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur. Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek. "Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu. - BERNAMA