suria

Tarif Elektrik Tidak Akan Naik Sehingga Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Kadar tarif elektrik semasa dalam negara tidak akan dinaikkan sehingga tahun depan, kata badan kawal selia sektor tenaga negara, Suruhanjaya Tenaga.

"Kita akan kekalkan tariff sehingga tahun depan, dan selepas itu mungkin akan menyemak semula kos penjanaan sebenar, dan akan membuat cadangan tertentu kepada pihak kerajaan," kata pengerusinya Datuk Abdul Razak Abdul Majid kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan Tenaga dengan Tiga Rakan Dialog (SOME +3) sempena Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Tenaga dan Mesyuarat Berkaitan kali ke-33 (AMEM ke-33) 2015 di sini Selasa.

Selain itu, beliau juga tidak membayangkan perubahan dasar terhadap pengguna domestik, yang menggunakan elektrik kurang daripada 300kw/jam.

Pada masa ini katanya kadar tariff elektrik di Malaysia adalah antara yang termurah berbanding negara ASEAN lain seperti Singapura dan Filipina.

Pada 11 Februari lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan keputusan Kabinet untuk menurunkan tarif elektrik sebanyak 2.25 sen setiap kilowatt/jam untuk pengguna di Semenanjung Malaysia mulai 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Sementara itu ditanya mengenai kebergantungan terhadap penggunaan bahan api seperti arang batu, minyak, gas asli dan hidro pada masa depan, Abdul Razak berkata negara masih perlu mengimbangi gabungan semua komponen tersebut memandangkan penggunaan tenaga boleh baharu hanya dijangka mencapai lima peratus menjelang 2020.

Suruhanjaya Tenaga

Artikel Lain