suria

HSN 2015: Cai Lin Yakin Gaya Hidup Seimbang Kunci Kesihatan Sihat

KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara 2015 yang bakal disambut julung kalinya pada 10 Oktober ini merupakan peluang terbaik buat rakyat Malaysia untuk memulakan langkah ke arah gaya hidup sihat.|

Program yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu merupakan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding 50 hingga 60 peratus di negara maju.



Jika sebelum ini sesebuah acara sukan lebih sinonim dengan penglibatan individu yang bergelar atlet, namun dengan hadirnya Hari Sukan Negara ini ia mampu mengubah perpepsi sesetengah golongan yang menganggap ada had untuk bersukan.

Begitupun, cabaran terbesar bagi kebanyakan orang adalah mereka cenderung untuk mengganggap bersenam sebagai satu tugasan berbanding rutin kehidupan harian. 

Atlet renang negara, Khoo Cai Lin mengakui mengekalkan gaya hidup seimbang dapat menjadi aspek penting dalam membentuk tubuh badan dan minda yang sihat.

“Kempen ini dapat menggalakkan orang ramai untuk bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat. Ia penting untuk kita mempunyai komuniti yang sihat kerana jika tidak, kita tidak akan mampu mencapai potensi sepenuhnya sebagai sebuah negara bersukan.

“Perkara yang penting adalah untuk mengekalkan keseimbangan di antara kerja, kesihatan dan kehidupan sosial. Sebenarnya, bersenam hanya untuk beberapa hari seminggu dapat membawa perubahan yang besar," ujar Cai Lin yang pernah mengharumkan nama negara pada pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk mewakili negara ke Sukan Olimpik 2008 dan 2012.
  


Dalam pada itu, bercerita mengenai sumber inspirasi sama ada untuk meningkatkan daya tarikan fizikal untuk mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa atau untuk kekal sihat, Cai Lin berkata, setiap orang pasti ada pembakar semangat sendiri.

“Mencari inspirasi yang tepat untuk memberi anda motivasi adalah azimat yang cukup berguna dalam usaha mencapai sasaran.

“Saya didorong oleh peluang untuk mengharumkan nama negara dan saya seorang yang begitu menggemari renang.

“Apa sekalipun, permulaan adalah sentiasa sukar, jadi tetapkan sasaran yang realistik dan berusaha untuk mencapainya. Ada yang berdepan masalah untuk naikkan berat badan, manakala ada yang bermasalah menurunkannya.

"Setiap orang mempunyai masalah. Jangan berputus asa,” jelas Cai Lin yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam dua ijazah - Hubungan Awam dan Pemasaran di Universiti Taylor.

Selain itu, lebih tiga juta rakyat Malaysia dijangka mengambil bahagian dalam sambutan di seluruh negara dengan lebih 4,435 program sukan dan kecergasan telah dirangka.

Antara acara yang ditunggu-tunggu adalah Spartan Race, The Music Run, Triathlon Antarabangsa PD, Score Fitmob, ekspo sukan dan lumba basikal kebangsaan.
Hari Sukan Negara, Khoo Chai Lin

Artikel Sebelum

PAS Tunggu Reaksi 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain