KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara enam bulan setelah gagal membayar denda sebagai hukuman oleh Mahkamah Majistret Ampang, selepas dia mengaku bersalah menunjukkan kemaluannya di hadapan rumah penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tiga hari lepas. Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan Amiruddin Sulaiman, 48, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia gagal membayar denda itu. Amiruddin, didakwa terhadap pertuduhan dengan niat menghina kesopanan pengawal keselamatan rumah penyanyi itu, warga Indonesia bernama Alias, 61, dengan menunjukkan kemaluannya sehingga mengganggu kesantunan mangsa di hadapan rumah milik suami Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd Jiwa di Bukit Antarabangsa di sini pukul 5 petang, 4 Oktober lepas. Dia yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Ketika rayuan, peguam Dony Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya yang merupakan seorang duda dan mempunyai dua orang anak berusia 21 dan 19 tahun. Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman penjara ke atas tertuduh atas alasan perbuatannya boleh menggugat keharmonian keluarga pemilik rumah.