suria

Dua Kanak-Kanak Orang Asli Ditemui Selamat Dirawat Di HRPZII

Kanak-kanak Orang Asli, Norieen Yaakub (baju merah) dan Mirsudiar Aluj (baju putih) yang ditemui di tebing Sungai Perias dibawa ke HRPZII untuk rawatan lanjut.

KOTA BARU: Dua kanak-kanak perempuan Orang Asli yang ditemui selamat selepas 48 hari hilang di Pos Tohoi, Gua Musang, kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZII, Zaid Ahmad berkata dua kanak-kanak itu, Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, dipindahkah dari Hospital Gua Musang dan tiba di HRPZII pada pukul 8.30 malam ini.

"Dua kanak-kanak tersebut dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan kini ditempatkan di Wad 5 untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat malam.

Dua kanak-kanak itu yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang ditemui di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari ini, bersama satu mayat budak perempuan.

Mayat yang ditemui itu dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang ini di Hospital Gua Musang (HGM).

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 48 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam budak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Semalam, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa.

Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang.

Tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.

Orang Asli, Pos Tohoi, Gua Musang

Artikel Sebelum

Artikel Lain