suria

Op Perangi Denggi Seluruh Negara 28 Oktober Ini

JOHOR BARU: Kementerian Kesihatan dijangka akan melakukan pembersihan besar-besaran terhadap tanah dan bangunan terbiar di seluruh negara 28 Oktober ini.

Menterinya Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata langkah itu bagi mengurangkan tempat berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, pembersihan itu juga buat pertama kalinya akan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia agar anggota di kem terlibat digerakkan bersama untuk melakukan pembersihan itu.

"Kita juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.Diharap pendekatan bersama selama sehari ini akan menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan memerangi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya pada sidang media sempena konvensyen khas MIC Johor, di sini Jumaat malam.

Menyentuh mengenai jerebu, Ahli Parlimen Segamat itu berkata Malaysia memerlukan Asean dalam menyuarakan pendirian tegas kepada Indonesia berhubung isu itu agar ia tidak berulang lagi pada masa depan.

"Belum pernah berlaku jerebu seteruk ini hingga mengakibatkan sesi persekolahan ditutup beberapa kali.

"Sebab itu, ia adalah masa yang tepat sekarang untuk Malaysia menyatakan pendirian jelas terutama setelah mengambil kira Malaysia menjadi pengerusi Asean tahun ini," katanya.-- Bernama


denggi, Kementerian Kesihatan

Artikel Lain