KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Hari Sukan Negara buat julung kalinya diadakan pada 10 Oktober 2015, bakal menyaksikan jutaan rakyat Malaysia turun padang dan bersenam di seluruh tanah air dalam misi untuk menjadi sebuah negara bersukan. Hari Sukan Negara mungkin berlangsung satu hari setahun, tetapi pada Sabtu kedua setiap Oktober ini bakal menjadi tarikh simbolik untuk mengingatkan tentang kuasa sukan dalam meniupkan api semangat serta permulaan gaya hidup sihat. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menjelaskan, daripada aktiviti-aktiviti ikonik dengan ribuan peserta di bandar-bandar hingga ke pertandingan futsal di kampung-kampung, Malaysia bakal mengorak langkah pertama ke arah menjadi negara yang lebih sihat dan cergas. Menurut Khairy, ada yang sinis mengatakan bahawa satu hari setiap tahun tidak mampu mengubah apa-apa dan masih lagi corot dalam arena bolasepak dan pencapaian sukan kita juga tidak konsisten. “Pasti ada yang beranggapan bahawa Kementerian Belia dan Sukan seeloknya memberi fokus kepada perkara ini dan bukannya mengajak rakyat bersukan pada satu hari setiap tahun. “Sebenarnya, pencapaian sukan berprestasi tinggi tetap menjadi keutamaan kementerian saya dan semua pemegang taruh yang terlibat. Tetapi sukan bukan hanya tentang atlet elit yang kita harap bakal dikalungkan pingat di podium antarabangsa. “Sukan massa atau sukan untuk semua - untuk kita, keluarga kita, dan rakan-rakan kita merupakan komponen yang sangat penting dalam perancangan dasar sukan negara,” kata Khairy dalam satu kenyataan khas sempena sambutan Hari Sukan Negara. Jelas Khairy, realiti kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti fizikal dan sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara bersukan seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus. “Bila kadar penglibatan di Malaysia rendah, sukan tidak terterap dalam budaya dan gaya hidup kita. Saya percaya rakyat Malaysia cintakan sukan. Namun walaupun negara kita dipenuhi dengan pencinta dan pengkritik sukan, gelaran negara bersukan masih jauh dari genggaman Malaysia. “Budaya ini memberi impak kepada pencapaian kita di peringkat tertinggi. Bila tiada budaya bersukan, tapak penyertaan sukan kita semakin menyusut. “Bila tiada budaya bersukan, ibubapa tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menyemai minat dan mengasah bakat dalam sukan. Bila tidak ramai anak kecil kita yang bersukan, amat sukar bagi Malaysia mencari pengganti Chong Wei, Nicol, Pandelela dan Azizul. “Natijahnya, usaha menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif ini bakal mencetuskan satu gerakan yang mampu meningkatkan penglibatan sukan di peringkat akar umbi dan sekaligus membentuk lebih ramai bintang-bintang sukan untuk masa hadapan,” jelas Khairy. Namun kata beliau, sukan tidak hanya berkisar tentang pencarian jaguh dunia seterusnya tetapi juga penting dalam membentuk Malaysia yang lebih sihat. “Di rantau ini, kita berada di puncak persada ranking penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung. “Jika sekarang kita hanya berpeluk tubuh, kosnya bakal kita tanggung di masa hadapan bukan hanya dengan rakyat yang menghidap penyakit kronik tetapi juga kos perbelanjaan perubatan awam yang semakin meningkat demi mengubati penyakit yang boleh kita elakkan melalui gaya hidup yang lebih sihat. “Bila kita lebih sihat, kita akan rasa lebih gembira dan lebih produktif. Cuba ingati perasaan berkobar-kobar dan produktiviti tinggi yang penah anda rasai selepas bersukan. “Sekarang, bayangkan apa yang dapat negara kita capai jika semangat sebegini dapat dirasai secara berterusan oleh seramai mungkin rakyat Malaysia”. Dalam pada itu, Khairy turut menyuarakan kekagumannya terhadap rakyat Malaysia dalam dua minggu terakhir sebelum Hari Sukan Negara disambut. “Rakan dan taulan cabar-mencabar melalui video senaman sebagai persiapan ke arah Hari Sukan Negara. Ahli Parlimen menyertai cabaran purata langkahan terbanyak bagi memenangi bantuan kewangan untuk aktiviti sukan di kawasan masing-masing sewaktu Hari Sukan Negara. “Ratusan kedai-kedai sukan terlibat dalam menjayakan jualan murah di seluruh negara sempena Hari Sukan Negara. Yang di ibu negara memenangi tiket percuma jika bersenam di stesen-stesen LRT terpilih dalam kempen Hari Sukan Negara. “Guru-guru, murid-murid, kakitangan kerajaan dan swasta malahan banduan-banduan juga ingin melaksanakan kejohanan sukan masing-masing pada Hari Sukan Negara. “Cabaran untuk membina negara bersukan telah benar-benar disahut oleh seluruh rakyat Malaysia di segenap pelusuk tanah air. “Maka marilah kita bersama-sama merencana perjalanan baharu untuk Malaysia bermula pada Hari Sukan Negara pertama ini,” katanya.