SYARIKAT telekomunikasi utama Di Malaysia sudah mula mengumumkan pakej harga bagi model baharu Apple, iPhone 6s dan 6s Plus. Walaupun pelancaran mana-mana model iPhone sering didahului dengan pelbagai ramalan dan spekulasi, keluaran tahun ini di Malaysia amat menarik kerana pengguna ingin mengetahui berapa banyak kenaikan harga model baharu itu selepas mengambil kira nilai ringgit yang lemah. Laman web Apple Malaysia masih belum mendedahkan harga sebenar model baharu itu tetapi Maxis dan Digi sudah menyediakan laman tempahan awal bersama beserta harga untuk kedua-dua model tersebut. Menurut laman web Maxis, model iPhone 6s ditawarkan pada harga RM3,099 untuk versi 16GB, RM3,599 (64GB) dan RM4,099 (128GB). Sementara itu, bagi model iPhone 6s Plus, harganya lebih tinggi. Ia ditawarkan pada harga bermula RM3,599 untuk 16GB, RM4,099 (64GB) dan RM4,499 (128GB). Namun, Maxis dan Digi kelihatan bercanggah pendapat mengenai harga runcit yang dicadangkan (RRP) berhubung model baharu itu. Digi menyenaraikan RRP bagi iPhone 6s bermula pada RM3,199 (16GB), RM3,699 (64GB) dan RM4,199 (128GB) manakala iPhone 6s Plus pada harga RM3,699 (16GB), RM4,199 (64GB) dan RM4,699 (128GB). Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu memberi jaminan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal dari sekarang hingga 15 Oktober akan menerima telefon mereka pada tengah malam 16 Oktober apabila iPhone baharu dikeluarkan.