LANGKAWI: Projek ternakan gamat secara sistematik yang sedang dilaksanakan di Langkawi dapat membantu penternak meraih hasil sehingga RM300,000 semusim, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, Selasa. Katanya projek yang telah bermula di Teluk Yu sejak lebih setahun itu juga dapat mengelakkan spesis hidupan laut ini daripada pupus berikutan permintaan tinggi untuk hasil produk gamat. "Projek ini juga boleh menjadi satu lagi produk agro-pelancongan di mana orang datang untuk mengetahui apa itu gamat, bagaimana ia diternak, dikutip dan sebagainya," kata Ahmad Shabery kepada media selepas lawatan kerjanya di sini. Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Arif Ab Rahman. Menurut Ahmad Shabery, pengalaman melaksanakan projek ternakan rumpai laut di perairan Semporna, Sabah akan dimanfaatkan bagi memastikan kejayaan projek ternakan gamat ini yang merupakan satu-satunya di negara ini. Ahmad Shabery berkata statistik semasa kementerian menunjukkan penurunan jumlah populasi gamat sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang memerlukan usaha penternakan yang lebih tersusun. Menganggap gamat sinonim dengan Langkawi, beliau berkata statistik itu turut menggambarkan risiko besar yang boleh menyebabkan spesis berkenaan pupus. "Undang-undang yang ada (untuk mengawal kutipan gamat) sudah mencukupi. Namun ia tidak memadai kalau kita tidak ada program membangunkan gamat sebagai satu industri yang tersusun," katanya. -- Bernama