suria

MH17: Ibu Mahu Kematian Anak Terbela

SEGAMAT: Ibu kepada Hasni Hardi Parlan, antara 298 mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di Ukraine 17 Julai tahun lepas, tetap mahukan kematian anaknya itu terbela.

Hasiah Rajikon, 58, berharap mereka yang terlibat 'membunuh' anaknya, jurutera berusia 32 tahun dan kesemua penumpang itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

"Tidak kiralah siapa pun yang menembak kapal terbang itu. Baik kerajaan Belanda atau Malaysia...heretlah penjenayah itu ke muka pengadilan segera.

"Kami sebagai keluarga mangsa nahas mahu mengetahui kenapa mereka tergamak  menembak kapal terbang yang penumpangnya tidak bersalah langsung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Alam 2, Buluh Kasap di sini, Selasa.

Lembaga Keselamatan Belanda hari ini mengesahkan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK di timur Ukraine tahun lepas.

Pengerusinya Tjibbe Joustra berkata peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.

Hasiah berkata sehingga hari ini walaupun telah menerima hakikat anaknya telah pergi buat selama-lamanya namun sama sekali, beliau tidak dapat menerima cara kematian tragis anak kesayangannya itu.

"Sudah lebih setahun anak kedua saya daripada enam beradik ini pergi buat selama-lamanya dan biarlah kematiannya ini terbela akhirnya," katanya sambil membelek album foto Allahyarham Hasni Hardi.

Beliau berkata kerajaan Belanda sebelum ini menjemput mereka ke negara itu  bagi mendengar keputusan hasil siasatan yang diumumkan hari ini melalui e-mel kepada seorang daripada anaknya.

Bagaimanapun, katanya beliau dan suami Parlan Mesiran, 62, tidak dapat pergi kerana faktor kewangan.

"Saya memang nak pergi dan mahu mendengar hasil siasatan tragedi ini tetapi siapa mahu menanggung kami ke sana," katanya.

Seorang lagi bapa kepada mangsa nahas itu Md Salim Sarmo, 66, juga senada dengan Hasiah yang mahukan kebenaran terhadap tragedi itu ditegakkan melalui undang-undang.

"Keluarga mana yang tidak mahu penjenayah ini diheret ke muka pengadilan?  Bertegaslah untuk mengheret mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Anak Md Salim, Mohd Ali, 30, yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik ketika itu sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang 'Development Neuropsychopathology' di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda.

Md Salim berkata beliau juga dijemput kerajaan Belanda untuk ke sana bagi mendengar pengumuman hasil siasatan itu.

"Kalau diberi tiket untuk kami ke sana mungkinlah boleh dipertimbangkan tetapi tidak apa, pergi atau tidak hasil siasatan tetap akan diketahui juga," katanya.

"MAS juga memberi jaminan kepada semua sanak saudara bahawa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai semua perkara berhubung kehilangan penerbangan MH17 dan sokongan kami kepada keluarga berkenaan akan berterusan  sehingga semua isu selesai," katanya.

Pada 17 Julai, penerbangan MH17 yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam yang membawa 298 penumpang dan anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine.

Ia membawa 193 orang warga Belanda, Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), the United Kingdom (10), Belgium (empat), Jerman (empat), Filipina (tiga) dan Kanada serta New Zealand (masing-masing seorang).

Rata-rata waris keluarga mangsa berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan Lembaga Keselamatan Belanda hari ini, namun mahukan siasatan lanjut dijalankan dengan segera.

Kebanyakan mereka juga berharap dalang yang bertanggungjawab berhubung tragedi pesawat yang ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lepas dapat diheret ke muka pengadilan dengan segera.

Bapa kepada Nur Shazana Mohamed Salleh seorang daripada pramugari pesawat itu, Mohamed Salleh Samsuddin berkata beliau puas hati dengan laporan penyiasatan yang diumumkan, namun banyak lagi persoalan yang masih belum terjawab.

"Setelah sekian lama kami menunggu saat ini, laporan yang dikeluarkan memang sangat komprehensif dan menyeluruh tetapi kami sekeluarga akan tunggu tindakan seterusnya yang akan MAS atau kerajaan ambil selepas ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamed Salleh juga berkata beliau tidak berasa sedih atau marah berikutan laporan yang diumumkan tetapi keinginan menuntut keadilan atas kejadian itu merupakan sesuatu yang ingin dilakukannya.

"Ini adalah soal keadilan dan kami tidak akan berhenti memperjuangkannya walaupun terpaksa ke luar negara untuk berbuat demikian," tambahnya.

Dalam pada itu, seorang lagi waris mangsa, Amnah Mohd Sharis, 66, ibu kepada pramugara MH17, Shaikh Mohd Noor Mahmood reda dengan apa jua keputusan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Walaupun sudah setahun berlalu, setiap kali melihat pesawat MAS di kaca televisyen ataupun di mana-mana sahaja, segala kenangan tentang anak saya akan terbayang," katanya dalam nada sebak.

Shahrom Ibrahim , ibu kepada mangsa Nur Shazana Mohamed Salleh berharap beberapa maklumat seperti punca menembak pesawat itu yang masih menjadi misteri dapat dirungkai segera.

Katanya, walaupun keluarganya mula menerima kematian anaknya, dalang kejadian itu harus dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

"Saya harap kerajaan terus berusaha membawa pesalah ke muka pengadilan kerana kami mahu tahu punca perbuatan keji itu," katanya.

Di GEORGE TOWN, ayah pramugara Sanjid Singh Sandhu, Jijar Singh Sandhu, 71, berkata selepas lebih setahun tragedi itu berlaku, masih belum ada pihak yang didakwa atau diambil tindakan dan ia adalah tidak adil kepada semua mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Di ALOR SETAR, ibu kepada ketua pramugari Azrina Yakob, Habibah Ismail, 66, berkata walaupun reda dengan ketentuan itu, dia sekeluarga terasa teraniaya dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengakibatkan kematian anak kedua dari empat beradik itu.

"Kami nak bukti, salah ke benar ke ada bukti, kami nak tahu apa sebab mereka tembak, memang sedih sebab mereka tembak macam itu saja, rasa macam teraniaya dan kehilangan yang amat," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Di IPOH, adik bongsu kepada mangsa Noor Rahimmah Mohd Noor, Noorlin, 48, berkata: "Kami sekeluarga tertunggu-tunggu walaupun kami semua tak dapat apa-apa...kalau dapat tahu siapa dalangnya, itu pun sudah beri kepuasan."

Di SHAH ALAM, isteri Kapten Wan Amran Wan Hussin, Mariam Yusoff, 46, berkata walaupun reda dengan apa yang telah berlaku, beliau tetap mahu pihak yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu itu dihukum.

"Kami mahu pasukan penyiasat mencari dan mendedahkan individu serta dalang yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu itu.
"Harapan kami cukup besar agar keadilan berlaku demi menjaga maruah suami saya," katanya. -- Bernama


Hasni Hardi Parlan, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain