KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil langkah bagimemastikan pihak yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri NajibTun Razak. Beliau berkata selepas Lembaga Keselamatan Belanda mendedahkan pesawat itu ditembak dengan peluru berpandu BUK dari wilayah dikuasai pemberontak di timur Ukraine, siasatan jenayah yang masih dijalankan perlu memberi jawapan tepat dan membenarkan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab itu. "Siasatan jenayah yang masih dijalankan diketuai Belanda dengan sokongan kita perlu memberi jawapan pasti untuk kita meneruskan tindakan paling keras terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini Selasa malam. Najib berkata beliau menghubungi Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Lembaga Keselamatan Belanda, sebelum laporan tragedi itu, diumumkan pada Selasa. Beliau berkata tragedi itu sesuatu yang tidak boleh dibayangkan, dan daripada 160 penerbangan yang melalui laluan sama seperti MH17, tiada satupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa mengenai sebarang ancaman. "Lima belas bulan sudah berlalu, tetapi komitmen kita untuk membawa dalang itu ke muka pengadilan kekal kukuh seperti pada hari malang 17 Julai 2014, dimana ratusan orang tidak berdosa terkorban dalam konflik yang tiada kaitan dengan mereka," katanya. Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia. Najib berkata banyak anggota keluarga mangsa turut berada di Belanda hari ini (Selasa), untuk mendengar taklimat mengenai laporan itu. "Ia menjadi satu perjalanan yang sukar dan akan kekal begitu terutama merekayang kehilangan anggota keluarga tersayang, yang masih dalam ingatan dan doa saya," katanya. -Bernama