suria

Kawal Aktiviti Elak Burukkan Kesan Fenomena El Nino - Wan Junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menasihatkan semua pihak yang menjalankan aktiviti berisiko menyebabkan kebakaran supaya mengawal aktiviti mereka.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah berkenaan perlu diambil bagi mengurangkan kesan fenomena El Nino yang sedang dialami ketika ini.

"Peladang, penternak, petani, pusat pembuangan sampah serta masyarakat amnya dinasihatkan jangan membuat pembakaran terbuka bagi mengurangkan kesan El Nino.

Jabatan Alam Sekitar juga telah diarahkan memantau jika ada pembakaran yang berlaku berdekatan dengan hutan supaya tidak merebak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kecemasan (Bantuan Pendidikan) 2015 Parlimen Santubong, di sini, Rabu.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.

Sementara itu, Wan Junaidi berharap kementeriannya menerima peruntukan khusus dalam Bajet 2016 bagi menguruskan telaga tiub di tanah gambut serta hutan yang berisiko berhadapan dengan ancaman kebakaran.

Beliau berkata selain menguruskan telaga tiub sedia ada, kementerian juga merancang untuk menambah lagi telaga tiub ke beberapa kawasan lain.

"Jadi saya harap bajet nanti bukan saja kementerian saya tetapi juga bajet untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi diberi peruntukan khusus supaya kementerian kami dapat menguruskan dan melaksanakan telaga tiub ini dan seterusnya dapat kita basahkan tanah gambut supaya tidak terlibat kebakaran, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2016  di Parlimen pada 23 Oktober.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain