GILZE-RIJEN (Belanda): Penyiasat, pada Selasa membuat kesimpulan bahawa pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH17 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di kawasan bergolak di Ukraine. Namun, selepas 15 bulan nahas itu berlaku, Rusia dan Barat yang enggan mengaku bertanggungjawab sebelum ini telah memulakan semula 'permainan' menyalahkan satu sama lain. Siasatan yang diketuai Belanda ini tidak mengenal pasti siapa yang melancarkan peluru berpandu yang menyebabkan pesawat Boeing 777 terhempas pada 17 Julai 2014, membunuh semua 298 orang di atas kapal. Tetapi baik Rusia, Ukraine dan negara-negara Barat semuanya mengambil kesempatan pada masa ini untuk meningkatkan tuduhan bahawa orang yang bersalah dalam tragedi itu adalah pihak lain. "Penerbangan MH17 terhempas akibat letupan peledak di luar kapal terbang bahagian depan sebelah kiri kokpit," kata Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra, pada sidang akhbar. "Peledak ini sesuai dengan jenis peluru berpandu yang dipasang pada sistem peluru berpandu permukaan ke-udara, BUK." Siasatan itu menunjukkan kawasan seluas 320 kilometer persegi (120 batu persegi) di timur Ukraine di mana peluru berpandu kemungkinan dilancarkan. Walaupun laporan itu tidak menyatakan ia adalah di bawah kawalan kumpulan pemisah pro-Rusia yang menentang tentera Ukraine, pengerusi lembaga itu, Joustra kemudian seolah-olah menunjukkan ia adalah benar. "Ia adalah kawasan di mana kawasan sempadan dalam keadaan tidak stabil dan berubah-ubah, tetapi ia adalah satu wilayah pemberontak pro-Rusia," katanya kepada media selepas memberi taklimat kepada penggubal undang-undang Belanda. Laporan yang ditunggu-tunggu itu juga berkata penumpang penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu mungkin berada dalam keadaan sedar dalam tempoh 90 saat sebaik sahaja pesawat terhempas. Rumah Putih, yang telah lama menuduh pemberontak pro-Rusia sebagai dalang serangan itu berkata bahawa 'penilaiannya tidak berubah' - MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara yang dilancarkan dari wilayah pemisah yang dikawal di timur Ukraine. Setiausaha Pertahanan Britain Michael Fallon memberitahu AFP bahawa laporan itu adalah 'langkah yang semakin hampir dengan kebenaran' dan 'melemahkan sepenuhnya teori-teori konspirasi yang cuba diwujudkan Rusia sejak berlakunya perbuatan mengerikan ini." Tetapi Moscow memberi reaksi marah dengan berkata dakwaan itu mempunyai 'keraguan serius' tentang matlamat siasatan yang dijalankan di Belanda itu, sambil menambah ia adalah semata-mata 'justifikasi terhadap tuduhan yang dikemukakan sebelum ini'. Beratus-ratus orang yang menghadiri pengumuman laporan itu di pangkalan udara Belanda, telah duduk bertentang dengan kokpit pesawat yang dibina semula daripada bangkai dan serpihan yang ditemui.