KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Abdul Kadir Talib, meninggal dunia kerana sakit tua di sebuah pusat perubatan di sini, 6.40 pagi Jumaat. Jenazah Allahyarham yang berusia 86 tahun dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim) menyifatkan pemergian Abdul Kadir sebagai satu kehilangan besar kerana Allahyarham ketika hayatnya banyak berjasa kepada negara dan umat Islam. Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata pihaknya dukacita atas pemergian Abdul Kadir dan mendoakan Allahyarham dicucuri rahmat. "Kami mendoakan supaya keluarganya tabah dalam menerima perkara ini. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama para solihin atas jasanya kepada negara dan umat Islam," katanya dalam satu kenyataan Jumaat. Abdul Kadir, yang berasal dari Pontian, Johor, merupakan Mufti Wilayah Persekutuan dari Julai 1991 hingga Januari 1997.-- Bernama