suria

Pegawai Tentera Hilang Penglihatan Tapi Tak 'Buta' Dalam Hidup

Syed Othman Syed Omar

KUALA LUMPUR: Penglihatannya hilang hanya 27 hari selepas berkahwin apabila terkena jerangkap samar yang dipasang pengganas komunis di kawasan hutan Sadao, selatan Thailand, kira-kira 36 tahun lalu.

Tetapi ia tidak menghalang Kolonel Syed Othman Syed Omar untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dan menulis 10 buku mengenai sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas pulih.

Pesara berusia 62 tahun yang tinggal bersama isteri di Sungai Siput, Perak itu berkata, kini beliau lebih banyak meluangkan masa bermain bersama lima cucunya.

"Saya hanya sempat melihat isteri 27 hari sahaja sebelum berlaku kejadian yang mengubah hidup saya selamanya.

"Ketika itu, saya sedang berkawal dalam hutan di Sadao dalam operasi menjejak komunis pada Ogos 1979 apabila terkena jerangkap samar yang menyebabkan saya hilang penglihatan," katanya ketika ditemui pada majlis memperingati anggota tentera yang tercedera sempena sambutan ulang tahun ke-82 ATM.

Selepas kemalangan yang meragut deria penglihatannya, kata Syed Othman, dia perlu belajar segala-galanya semula.

"Belajar membaca dan menulis dalam Braille dan macam mana untuk teruskan kehidupan," ujarnya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, selain ATM yang memberi sokongan kepada anggota yang cedera, agensi lain juga harus melakukan perkara sama.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain  gembira kerana kebajikan golongan itu dijaga dengan baik, malahan ada yang sudah memulakan perniagaan.

"Soalan yang sering ditanyakan kepada saya ialah bila mereka akan dapat membuat semakan pencen," katanya kerajaan sedar mengenainya dan akan meneliti selepas ekonomi negara stabil.

ATM, Syed Othman Syed Omar

Artikel Lain