PETALING JAYA: Menjelang pembentangan Bajet 2016 yang semakin hampir, kumpulan pengguna dan peniaga menggesa kerajaan untuk menambah baik beberapa polisi bagi menangani peningkatan kos sara hidup dan aktiviti perniagaan. Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu berkata strategi jangka masa panjang perlu digunapakai untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang nyata memberi kesan kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. "Sebagai contoh, memperkenalkan tanda pada makanan boleh mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan kerana pemberian wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan jalan penyelesaian. "Perlu ada penambahbaikan dalam perkhidmatan pengangkutan awam dan infrastruktur pada hari ini kerana kadar tol telah dinaikkan," katanya. Bajet 2016 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfokuskan pengukuhan pertumbuhan ekonomi dan kemampanan fiskal. Ia adalah Bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Marimuthu berkata lebih banyak dana perlu disalurkan kepada penjagaan kesihatan supaya pesakit dapat menikmati rawatan berkualiti dan mengurangkan tempoh menunggu. Katanya, memandangkan nilai ringgit semakin lemah, pinjaman penuh perlu diberikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. "Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap peminjam dan mendesak mereka untuk membuat bayaran balik supaya peminjam lain boleh mendapat manfaat daripada pembayaran semula tersebut. "Perlu juga ada strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import seperti menggunakan tanah pertanian terbiar di negara ini," katanya. Marimuthu berkata pada tahun lalu, import makanan Malaysia berjumlah RM46.2 bilion sambil menegaskan pemberian kuasa kepada petani tempatan boleh mengurangkan perbelanjaan tersebut. Pengerusi Biro Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA, Datuk Ei Kim Hock berkata sebuah badan yang sama seperti Matrade perlu ditubuhkan untuk membantu mempromosikan produk PKS yang dihasilkan di luar negara. Katanya, lebih banyak insentif perlu disediakan untuk membolehkan pengusaha PKS melakukan persediaan dengan mengambil kira Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). "Kami menjangka impak besar kerana PKS tidak mempunyai kelengkapan untuk menghadapi persaingan dengan syarikat konglomerat antarabangsa memandangkan sistem automatik sudah ketinggalan zaman. "Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian pengecualian cukai ke atas peralatan jentera bagi PKS dan mengurangkan levi untuk pekerja asing," katanya.