suria

Kuching, Samarahan Catat IPU Tidak Sihat Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Kualiti udara sedikit merosot di Sarawak apabila dua kawasan iaitu Kuching dan Samarahan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi Sabtu.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di dua kawasan itu terus meningkat sejak 6 pagi dan bacaan terkini merekodkan Kuching (107) dan Samarahan (106).

Sementara itu, 34 kawasan merekodkan kualiti udara sederhana antaranya di Bandaraya Melaka (98) dan Bukit Rambai (95) di Melaka; Larkin Lama, Johor (91); Pelabuhan Klang (83) dan Banting (78) di Selangor serta Putrajaya (76).

Batu Muda dan Cheras di ibu negara masing-masing mencatatkan bacaan 66, iaitu pada tahap sederhana.

Sebanyak 16 kawasan pula merekodkan bacaan baik antaranya Alor Setar (44) dan Langkawi (28) di Kedah; Kangar, Perlis (39); Kota Kinabalu, Sabah (30);  Tanah Merah, Kelantan (23) dan Labuan (19).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

IPU, jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain