KUALA LUMPUR: Saluran bantuan kepada golongan miskin kini lebih mudah dengan menggunakan aplikasi baharu yang diperkenalkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). Aplikasi dalam talian 'YBK Peduli!' ini adalah inisiatif YBK untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik itu. Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, aplikasi ini adalah usaha YBK untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap golongan miskin yang memerlukan bantuan. "Aplikasi ini bertindak sebagai penyalur maklumat kepada YBK supaya senang untuk kami mengesan golongan miskin. "Hanya perlu mendaftar untuk melaporkan bantuan yang diperlukan kepada pihak YBK dan dalam masa seminggu, pihak YBK akan bertindak mengagihkan bantuan kepada yang memerlukan," katanya selepas melancarkan aplikasi YBK Peduli! di Masjid Jamek, di sini, Sabtu. Pengguna boleh memuat turun aplikasi YBK Peduli! di Play Store dan Apps Store. Pelancaran aplikasi ini juga sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap 17 Oktober untuk memupuk kesedaran mengenai pentingnya membasmi kemiskinan di seluruh dunia. Pada majlis sama, YBK turut mengagihkan makanan kepada 200 gelendangan di sekitar ibu negara. Kata Zainal Abidin lagi, aplikasi ini turut menyediakan kemudahan menderma dalam talian. "YBK menyasarkan lebih 100 orang akan memuat turun aplikasi ini," tambahnya lagi.