suria

Jerebu: Dua Penerbangan Dibatalkan Di Lapangan Terbang Tawau

KOTA KINABALU: Dua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Tawau dibatalkan akibat jarak ketampakan yang terhad berikutan jerebu pagi Ahad.

Pengurus lapangan terbang itu, Yaakob Abu Bakar berkata sektor terlibat ialah Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu membabitkan penerbangan MASWings dan Penerbangan Malaysia (MAS).

Yaakob berkata tiga penerbangan pelepasan dan ketibaan turut mengalami kelewatan iaitu Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur-Tawau-Kuala Lumpur membabitkan penerbangan MASWings serta AirAsia.

"Lapangan terbang ini ditutup pada jam 8 pagi berikutan keadaan jerebu yang mengehadkan jarak ketampakan dan dibuka semula pada 10 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Bagaimanapun, katanya keadaan di Lapangan Terbang Tawau masih terkawal, namun pihak lapangan terbang dengan kerjasama Jabatan Penerbangan Awam dan Jabatan Meteorologi akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa. 

Setakat 2 petang, Indeks Pencemaran Udara di Tawau mencatat bacaan 123, iaitu kualiti udara tidak sihat. 

Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Kota Kinabalu Sunif Naiman berkata penerbangan MASWings MH2121 ke Tawau dari Kota Kinabalu pagi ini berpatah balik akibat jerebu, namun, dilencongkan pula ke Brunei berikutan hujan di Kota Kinabalu.

Setakat ini, waktu ketibaan pesawat itu dari Brunei ke Kota Kinabalu masih belum diketahui, katanya. -- Bernama




Lapangan Terbang Tawau, jerebu, MAS

Artikel Lain