suria

Jangan Pandang Ringan Ancaman Kumpulan Militan IS

KUALA LUMPUR: "Ancaman kumpulan militan IS perlu dilihat secara serius kerana ia bukan satu drama atau sandiwara kerajaan".

Begitulah antara kata-kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada pemberita selepas menghadiri 'Forum Crime Matters' di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di sini Khamis lepas, yang jelas membayangkan mesej beliau kepada semua lapisan rakyat negara ini berhubung cabaran keselamatan yang dihadapi negara dan rakyat berikutan penglibatan rakyat negara ini dalam IS.

Riak muka beliau jelas menampakkan kemarahan ketika menekankan perlunya ancaman I.S. dilihat secara serius, dan ini boleh difahami kerana masih ada rakyat di negara ini masih tidak mempercayai kewujudan ancaman kumpulan militan itu atau mengambil ringan perkara ini.

Kalau dilihat sejarah pelbagai ancaman yang diharungi negara, kerajaan  tidak pernah bersandiwara atau mempolitikkan isu-isu yang membabitkan soal keselamatan negara apatah lagi melibatkan ancaman daripada I.S, ancaman keganasan terbesar yang dihadapi dunia hari ini.

Walaupun bilangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan I.S masih kecil, namun pelbagai golongan tidak kira orang awam mahupun penjawat awam, dan malah golongan bijak pandai dan profesional dan pelajar juga terpengaruh dengan ideologi kumpulan itu.

Antaranya pada 18 Februari lalu, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria.

Ketika itu, Khalid berkata pelajar perempuan itu membuat persiapan untuk perjalanan ke Syria menerusi Mesir dan polis percaya rakan atau orang hubungan di Mesir dan gadis tersebut terpengaruh dengan dakyah dalam laman sosial. 

Pada 6 Oktober lalu seorang anggota komando dari Kem Rejimen 21 Komando, Sungai Udang didakwa di Mahkamah Majistret di Melaka atas pertuduhan memiliki item penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS, pada Ogos lepas.

Ekoran penglibatan rakyat Malaysia yang semakin bertambah, kerajaan dan polis mempergiatkan lagi kempen memerangi IS dengan mewujudkan kesedaran kepada rakyat dan forum ini yang turut melibatkan wakil rakyat dan masyarakat, adalah satu daripada usaha tersebut.

Menurut statistik polis, daripada Februari 2013 sehingga Jun tahun ini, mereka menahan 122 orang di negara ini termasuk 105 rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan. Bakinya adalah rakyat asing.

Matlamat IS adalah untuk mewujudkan sistem pemerintahan khalifah, iaitu negara yang diperintah oleh seorang pemimpin politik dan agama.

Kumpulan ini menggunakan taktik ganas termasuk pembunuhan beramai-ramai musuh yang ditangkap, menculik dan memenggal kepala mangsanya.

Gerakan IS merupakan ancaman global yang bukan sahaja melibatkan negara Timur Tengah malah ia turut merebak ke seluruh dunia di atas keupayaan IS menggunakan media sosial untuk menyebarkan propaganda mereka.

Malah siasatan dan kajian polis sebelum ini mendapati media sosial menjadi medium utama kumpulan militan IS untuk merekrut anggota baharu kumpulan itu dan memperluaskan ideologi mereka.

Berikutan itu, 95 peratus daripada rakyat Malaysia direkrut melalui media sosial dan polis menghadapi masalah yang besar untuk mengawal serta menyekat memandangkan kebanyakan militan IS mahir menggunakan teknologi terkini.

Pada masa sama, polis juga sedang mengawasi 20 laman sesawang di negara ini yang didapati cuba merekrut rakyat di negara ini untuk menyertai perjuangan kumpulan itu.

Penganalisis Jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti harian anak-anak mereka ketika melayari laman sosial. 

Shahul Hamid berkata kurangnya didikan agama antara punca yang menyebabkan mereka (golongan muda) mudah terpengaruh dengan IS dan menganggap ajaran kumpulan militan itu benar.

"Negara kita antara penyumbang militan IS kepada negara-negara besar seperti Syria dan ramai yang menyertainya kerana fahaman telah terpesong," katanya.

Katanya pihak berkuasa juga perlu memantau pusat pendidikan di luar bandar kerana ia berisiko menjadi tempat penyebaran ideologi IS.

Meskipun, tiga akta iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) wujud untuk mengekang aktiviti ekstremisme, namun bagi menangani ancaman I.S, kerjasama semua lapisan masyarakat diperlukan, khususnya ibu bapa.

Apa yang paling penting, kesediaan orang ramai menyalurkan segera maklumat berkaitan IS kepada polis sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.-- Bernama

IS, militan, Khalid Abu Bakar

Artikel Lain