PETALING JAYA: Demi menyelamatkan satu nyawa, mahu atau tidak, rasa takut dan gementar harus dibuang jauh. Itulah yang yang dialami sekumpulan tiga wartawan StarTv.com yang pada awalnya ditugaskan membuat liputan misteri kehilangan murid Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. Namun, tanpa disangka mereka perlu berdepan saat-saat cemas apabila harus menggalas satu lagi tanggungjawab berat iaitu memastikan mangsa yang ditemui masih hidup selepas 48 hari hilang terus selamat sehingga dibawa ke hospital. Penolong Penerbit Berita, Charanjeet Kaur; Penerbit Eksekutif Mohamed Azam Zainal Ali dan juruvideo Juliana Fauzi tidak pernah menjangka tugasan mereka kali ini menjadi tugasan penuh cabaran dan emosi. Mereka tiba di Gua Musang pada 8 Oktober, sehari sebelum Miksudiar Aluj, 11, ditemui selamat. Mengimbas kembali tugasan yang diberikan, mereka awal-awal lagi sedar bahawa tugasan kali ini agak luar biasa cabarannya, sama ada dari segi lokasi dan kemudahan lain seperti liputan telefon serta Internet yang tidak memberikan mereka pilihan lain kecuali menguatkan mental dan fizikal. Charanjeet berkata, tidak mudah sebenarnya menjadi antara orang terawal mendapat tahu tentang adanya mangsa yang masih hidup selepas hilang lebih sebulan dan secara kebetulan berada dekat dengan lokasi penemuan. “Ketika nampak stretcher, saya benar-benar tak percaya. Semua orang terkejut, situasi di situ penuh dengan emosi, antara sedih, teruja dan gembira. Satu keajaiban apabila budak yang hilang dalam hutan selama 48 hari ditemui masih bernyawa. “Belum sempat rasa terkejut itu hilang, sekali lagi saya tergamam apabila diberitahu bahawa mangsa, yang dikenali sebagai Ima akan dibawa ke Kuala Betis menggunakan kereta yang kami naiki dan saya adalah orang yang perlu memangkunya,” katanya ketika mengimbas kembali detik-detik cemas yang dilaluinya pada tanggal 9 Oktober lalu. Charanjeet (kanan) memangku Miksudiar dalam kenderaan untuk ke SM Kuala Betis baru-baru ini. Katanya, beliau harus mengakui bahawa beliau takut tetapi cepat-cepat memujuk diri sendiri supaya mengenepikan segala emosi dan menguatkan semangat demi mangsa yang sedang bertarung untuk hidup. “Dia kurus kering, lemah dan tak bermaya, seperti mayat bernyawa. Saya takut saya yang akan mematahkan tulang-tulangnya jika tersilap langkah apatah lagi dengan keadaan jalan yang sangat teruk. Dia memegang tangan saya dan merenung saya. Katanya, perjalanan selama lebih kurang 40 minit ke Sekolah Menengah (SM) Kuala Betis itu dirasakan begitu lama dan sepanjang perjalanan, apa yang mampu dilakukannya adalah mengesat mangsa dengan tisu basah dan membantu memastikan dirinya tidak terhentak. SM Kuala Betis adalah tempat di mana ambulans sudah menunggu untuk membawa mangsa yang ditemui ke Hospital Gua Musang. “Saya tak tahu tentang mangsa, juga tak tahu tentang ibu bapanya. Apa yang terkeluar daripada mulutnya adalah ‘sakit…nak makan ayam goreng, nasi goreng, telur dan buah oren tapi saya memujuknya bahawa dia tidak boleh makan sekarang’. “Sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat menunaikan permintaannya itu,” katanya. Sementara itu, Mohamad Azam pula berkata, pengalaman dan pengetahuan tentang selok-belok hutan dan memandu di jalan ‘offroad’ banyak membantu dalam tugasan kali ini. “Kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki boleh dikatakan lengkap dengan segala keperluan. Sebab itulah apabila salah seorang pegawai di sana meminta supaya kami membawa mangsa, saya tidak berfikir panjang dan terus setuju. “Perkara pertama yang saya fikir pada masa itu adalah, kami kena selamatkan mangsa. Kami tak mahu berlengah. Dengan keadaannya pada masa itu yang ‘rapuh’, saya ibaratkan sebagai ‘batang mancis’ , setiap minit yang dilengahkan adalah risiko. “Saya memandu laju, tetapi sangat berhati-hati. Pada masa sama, saya percayakan Charanjeet kerana dia adalah seorang ibu, sudah tentu dia lebih tahu bagaimana untuk menenangkan mangsa dan dirinya sendiri,” katanya. Bagi Juliana, apa yang dilaluinya dalam tugasan kali ini tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Katanya, sepanjang menjalankan tugas, hampir 95 peratus rakaman video dibuat menggunakan telefon bimbit kerana lokasi dan pergerakannya yang mencabar. “Dua kali saya terhimpit antara emosi dan profesionalisme. Pertama ketika mendapat tahu dua mangsa ditemui selamat dan yang kedua ketika merakamkan saat-saat di mana mangsa sedang dibawa ke Kuala Betis. “Saya tahu bahawa inilah ‘shot’ yang ditunggu-tunggu dan saya tak boleh terlepas merakamkannya. “Tidak mudah melakukannya kerana emosi saya terganggu dan keadaan jalan yang teruk, saya bergerak di hampir setiap sudut dalam kereta, sehinggakan saya terpaksa merakam dari tempat duduk pemandu yang sedang memandu,” katanya yang pertama kali menitiskan air mata sepanjang bertugas sebagai juruvideo. Bagaimanapun beliau bersyukur kerana dapat menyempurnakan tugasnya dan pada masa yang sama mereka berjaya membantu menyelamatkan satu nyawa. “Paling gembira apabila saya dapat merakamkan saat-saat Ima meminta nasi dan ayam goreng. Saya rasa ia telah menyentuh hati ramai yang melihat video ini,” katanya.