KUALA LUMPUR: Cabaran mendaki 22 laluan pada ketinggian antara lapan hingga 30 meter bukan halangan buat kira-kira 100 pelajar institusi pengajian tinggi untuk menyertai Rock Conquest Varsity Challenge 2015 yang berlangsung, Ahad. Pertandingan rock climbing atau mendaki tebing batu itu anjuran Kelab Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia (Kresma) itu berlangsung di Gua Damai Extreme Park, Batu Caves dekat sini. Bagi pemenang masa terpantas dan kutipan mata terbanyak, Ku Muhamad Faridhwan Ku Aziz, 21 dan Mohd Izzat Mohd Shokor,23 dari Universiti Multimedia (MMU) ini berkata, kerjasama berpasukan dan faktor keselamatan harus diutamakan memandangkan permukaan batu yang tajam. "Ada batu yang tajam dan ada yang sukar untuk dicapai, jadi banyak kemungkinan untuk tercedera jika tidak berhati-hati. "Setakat ini, hanya ada luka-luka kecil seperti calar di tangan tapi itu perkara biasa untuk semua orang yang lakukan aktiviti rock climbing," kata Faridwan, pelajar tahun kedua ijazah sarjana muda perakaunan di MMU, Cyberjaya. Menceritakan lanjut, katanya, walaupun pada mulanya sekadar hobi di waktu lapang, namun aktiviti ini menjadi kegilaannya kerana sanggup membeli kelengkapan seperti harness dan kasut yang sesuai untuk mendaki. "Minat dalam rock climbing bermula pada 2012 masa menyertai kelab rekreasi di universiti dan tidak sangka muncul juara tahun lalu," katanya. Bagi juri pertandingan berkenaan, Lily Mustafa, 40 berkata, pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepantasan peserta mendaki serta kutipan mata untuk semua laluan. "Ada 22 laluan yang peserta perlu daki dan kami akan catatkan masa terpantas dan kutipan mata peserta untuk semua laluan ini. "Setiap laluan di sini ada mata yang perlu dikumpul," katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam aktiviti pendakian. Selain itu, menurut Pengarah Projek berkenaan, Muhammad Zarul Muhd Suod, 22, penganjurannya bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang sukan lasak itu. "Ini adalah pendekatan Kresma untuk beri pendedahan kepada semua supaya sukan ini tidak hanya dimonopoli lelaki, tetapi wanita juga boleh menyertainya," katanya. Pada program kali ini, penyertaan merangkumi pelajar lapan universiti iaitu Universiti Monash, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), selain UiTM serta MMU.