suria

Pemandu Teksi Nyaris Rempuh Pengawal Hospital Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi yang mengalami sakit mental ditahan selepas nyaris merempuh pengawal di pintu masuk Hospital Tentera Tuanku Mizan di sini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden tersebut tersebar di laman media sosial pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pemandu teksi yang mahu menurunkan penumpang di hospital tersebut, memecut laju ke laluan pintu utama kira-kira pukul 8.45 pagi pada 12 Oktober lalu.

"Seorang penumpang dari Sibu, Sarawak meminta pemandu teksi itu untuk menurunkannya di luar hospital.

"Penumpang itu terkejut apabila pemandu teksi memecut laju ke arah pintu pemeriksaan keselamatan, nyaris merempuh seorang pegawai tentera," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Isnin.

Mohamad Roy berkata pegawai tentera itu berjaya mengelak teksi tersebut tetapi mengalami kecederaan di pergelangan tangan akibat terjatuh.

Menurut beliau, sekumpulan pegawai tentera mengejar teksi tersebut dan menahan suspek di persimpangan lampu isyarat yang terletak kira-kira 200 meter dari pintu masuk hospital terbabit.

"Mereka menahan suspek dan menyerahkannya kepada polis. Mereka membuat laporan polis pada hari yang sama. Siasatan mendapati pemandu teksi itu mengalami kemurungan," katanya.

Mohamad Roy berkata pemandu teksi itu pergi menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur pada 5 Oktober lalu.

"Dia disahkan negatif penggunaan dadah. Dia juga tidak berada di bawah pengaruh alkohol semasa insiden itu. Suspek turut tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata lelaki tersebut yang disiasat kerana cubaan membunuh didakwa di mahkamah pada 16 Oktober lalu.

Tambahnya, suspek turut dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan untuk penilaian psikiatri pada hari yang sama.

"Dia sudah berpisah dengan isterinya dan tinggal bersendirian," katanya.



pemandu teksi, sakit mental, tentera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain