suria

T-Pot Perkenal Permainan Hibrid Baharu

Dr Suhaiza bersama produk hasil ilhamnya yang memenangi anugerah pada 2013 dan kini dalam proses untuk dipasarkan.

PETALING JAYA: Masalah tidak dapat menyiram tanaman di rumah kerana terlalu sibuk atau bercuti kini dapat diatasi menerusi permainan hibrid baharu dikenali sebagai Togo atau singkatan kepada Touch and Grow.

Faktor utama untuk memastikan permainan terbaharu ini dapat berfungsi adalah adanya jaringan Wi-Fi.

Permainan ini membolehkan pemain menanam tanaman maya menggunakan pasu pintar atau Togo Pots (T-Pot) di rumah, pejabat atau kelas.

Menerusi avatar dan T-Pot, pemain boleh menyiram air pada tanaman maya dan memantau keadaan tumbuhan itu menggunakan Wi-Fi.

"Ia hanya permainan dan tidak menjejaskan alam sekitar.

"Bukan sahaja pemain dapat memelihara tanaman, tetapi dunia sejagat juga.

"Malahan, ia juga menyemai tanggungjawab kepada setiap pemain," kata ketua penyelidik Togo yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Puteri Suhaiza Sulaiman.

Kata Suhaiza, beliau mendapat ilham menghasilkan permainan itu daripada kenderaan yang hibrid Ford keluaran 2010 yang mempunyai tanaman maya pada papan pemuka kereta itu bagi menandakan ia sedang dipandu.

"Penggunaan gas dan elektrik yang kurang akan membantu pertumbuhan tanaman dan sekali gus ia akan mengubah cara pemanduan," katanya.

Tambahnya lagi, sesebuah keluarga itu boleh berkongsi T-Pot di rumah dan ia boleh mengeratkan hubungan sesama mereka.

Togo memenangi hadiah wang tunai RM50,000 pada Cabaran Rekacipta Harta Intelek 2013 anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan sehingga kini sebanyak 50 telah dibangunkan serta diuji pelajarnya dalam tempoh setahun.

Graduan peringkat Doktor Falsafah (PhD) bidang Komputer Grafik UPM itu berkata, setakat ini T-Pot belum dapat dipasarkan kerana harganya yang mungkin tidak munasabah dan mencecah sehingga RM250.

Sehubungan itu, pasukannya kini sedang mereka bentuk semula untuk mengurangkan kos bagi membolehkan ia dijual antara RM100 atau Rm150 seunit.

"Kami juga sedang cuba memperbaiki permainannya untuk menjadi lebih menarik, termasuk menambah alat pengesan pada pasu seperti cahaya dan khasiat untuk mewujudkan lebih banyak interasi dengan pemain," katanya.

Togo diketengahkan pada majlis pelancaran produk inovasi Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat UPM baru-baru ini.




T-Pot, UPM, hibrid

Artikel Sebelum

Artikel Lain