suria

MKN Tingkatkan Pengurusan SOP Banjir

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat persediaan rapi untuk menghadapi musim tengkujuh, antaranya meningkatkan kualiti pengurusan komuniti ketika membantu mangsa banjir.

Persiapan yang dilakukan turut merangkumi aspek penyediaan stor simpanan makanan dan pusat perpindahan di negeri berpotensi banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata persediaan itu dibuat lebih awal selaras dengan usaha menambah baik prosedur operasi standard dalam membantu mangsa banjir.

"Kita akan buat stor simpanan makanan serta-merta yang jika berlaku kecemasan seperti banjir, mangsa dapat diberi makanan secepat mungkin.

"Apa yang penting adalah pengurusan di peringkat komuniti berjalan dengan lancar tanpa kesulitan seperti yang berlaku pada banjir tahun lepas," katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan pasukan misi bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang memadamkan kebakaran di Sumatera Selatan, Indonesia, di Stesen Udara APMM Subang di sini Selasa.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Setiausaha MKN Ogu Salim berkata sebuah pesawat sememangnya diletakkan dalam keadaan sedia di Subang untuk tujuan operasi pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu.

Menurutnya, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Meteorologi untuk melakukan pembenihan awan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Cumanya sekarang ia dibuat bergantung kepada fisibiliti penerbangan dan kewujudan awan yang sesuai memandangkan keadaan jerebu yang teruk," katanya.

Beliau berkata pembenihan awan dibuat 65 kali sejak Mac lalu. - BERNAMA

SOP, banjir, MKN

Artikel Berikut

Artikel Lain