KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan usul untuk membincangkan situasi jerebu yang melanda negara pada petang ini. Usul yang dibawa oleh Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) diluluskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee setelah berpuas hati bahawa usul itu memenuhi tiga kriteria utama iaitu merupakan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan. "Oleh itu saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 3(b) yang perbahasannya bermula pukul 4.30 petang dan akan ditangguhkan pada 5.30 petang. "Perbahasan akan dibenarkan selama 30 minit dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya. Hee dalam usulnya berkata usul itu perlu dibincangkan memandangkan masalah jerebui telah berlarutan tanpa penyelesaian sejak sekian lama serta menjejaskan pelbagai pihak di negara ini termasuk penangguhan sesi persekolahan. "Dewan perlu bahas permasalahan jerebu dan cari cara terbaik untuk menangani jerebu rentas sempadan ini," katanya.