suria

BR1M Tidak Selesaikan Masalah Kos Sara Hidup Rakyat - Pemuda Umno Johor

PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno Johor berpendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bersifat ‘sekali beri’ tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat ketika ini.

Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, kerajaan sebaliknya perlu mewujudkan keseimbangan antara pemberian tunai dan subsidi yang selama ini diamalkan.

Jelas beliau, berikutan itu Pemuda Umno Johor berpendapat Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dapat mendahulukan keperluan asas rakyat selain memperkukuhkan kembali ekonomi negara.

"Kerajaan boleh mengambil alternatif lain dalam membantu rakyat untuk menangani kos sara hidup dengan mengurangkan cukai–cukai dengan meneliti semula golongan yang paling terkesan.

"Pemuda Umno Johor juga berharap  kerajaan meneliti dan mengkaji sebaik-baiknya dalam merangka Bajet 2016, dengan mengutamakan keperluan rakyat khususnya anak muda yang kian tersepit dengan perubahan landskap ekonomi yang tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hahasrin memberitahu, pihaknya menggesa kerajaan menyediakan program sosial yang komprehensif dan akses kepada kesihatan, pendidikan dan pekerjaan bagi golongan muda.

Menurut beliau, langkah drastik untuk menangani kesukaran memiliki rumah pertama perlu menjadi kutamaan dalam bajet kali ini.

"Permasalahan ini (membeli rumah) timbul disebabkan harganya yang melambung tinggi dan kesukaran bagi pembeli, khususnya golongan muda dalam mendapatkan kelulusan pinjaman.

"Kami mencadangkan supaya dalam bajet kali ini menggariskan semula syarat bagi memudahkan pemilikan rumah, menilai semula polisi kuota Bumiputera, meningkatkan bekalan rumah mampu milik, serta pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi rumah mampu milik atau hartanah kawalan," tegasnya.

Selain itu, Hahasrin memberitahu, pihaknya menyarankan kerajaan  memandang serius dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aspek pembangunan usahawan khususnya industri mikro, kecil dan sederhana dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap eksport komoditi yang kian melambung.

Katanya, hal ini kerana keusahawanan merupakan sektor penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi.

Pemuda Umno Johor, BR1M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain