PETALING JAYA: Keadaan jerebu semakin teruk pada pagi Rabu apabila dua kawasan di Lembah Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat. Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga pukul 10 pagi, dua kawasan dengan IPU sangat tidak sihat itu ialah Shah Alam (233) dan Pelabuhan Klang (203). Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). Sementara itu kawasan-kawasan lain dengan IPU tidak sihat ialah Putrajaya (192), Banting (189), Petaling Jaya (186), Batu Muda (175), Kuala Selangor (152), Cheras (152), Nilai (151), Seremban (151), Port Dickson (114) Bukit Rambai (117) serta Bandaraya Melaka (110). Di utara, kawasan IPU tidak sihat adalah USM (114), Seberang Perai 2 (143), Perai (121), Tanjung Malim (124), Seri Manjung (144), SK Jalan Pegoh, Ipoh (149), Jalan Tasek, Ipoh (138), Alor Setar (135), Bakar Arang, Sg Petani (139), Langkawi (135) serta Kangar (139). Sri Aman (147), Kuching (132), Samarahan (137) dan Sarikei (112) adalah kawasan di Sarawak yang berada dalam bacaan IPU tidak sihat.