PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi pembelian kad tambah nilai prabayar. Gesaan itu dibuat susulan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada Jumaat ini. "Pemuda Umno minta kerajaan mansuhkan pembayaran GST untuk top-up. Isu ini masih belum selesai lagi. "Adalah lebih baik isu top-up diselesaikan tanpa perlu dibayar GST," katanya menerusi posting di Facebook pada Rabu. Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani memberi tempoh kepada syarikat telekomunikasi (telco) sehingga 31 Oktober untuk memastikan harga kad prabayar untuk penggunaan telefon mudah alih kembali seperti sebelum pelaksanaan GST. Tegasnya kerajaan tidak akan berkompromi dengan telco yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil. Selain itu Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berharap Bajet 2016 akan memberi berita gembira kepada golongan muda khususnya dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat. "Begitu juga soal peluang pekerjaan, pemilikan rumah, latihan kemahiran dan pembagunan usahawan. "GST sudah pasti memberi tekanan kepada golongan muda. Harapan besar (supaya) kerajaan kekalkan pengecualian GST ke atas beberapa barang-barang perlu," katanya.