KOTA KINABALU: Sekumpulan pelancong didakwa berkelakuan tidak sopan dengan berbogel di sebuah pulau di Semporna, Sabah. Pegawai Daerah Semporna, Dr Chacho Bulah telah meminta Taman-Taman Sabah dan pihak polis untuk menyiasat dakwaan gambar sekurang-kurangnya tujuh atau lapan pelancong beraksi bogel di pantai yang menjadi viral di media sosial. "Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang ahli persatuan pelancongan yang berkata dia ternampak gambar tersebut di Facebook. "Ia hanya satu dakwaan buat masa ini, jadi kita tidak tahu sama ada ia benar-benar berlaku di salah sebuah pulau di sini walaupun latar belakang gambar kelihatan seperti di Semporna," katanya ketika dihubungi pada Khamis. Dr Chacho berkata beliau telah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu pada 19 Oktober lalu. Beliau menggesa mereka untuk menyiasat insiden tersebut. "Kami tidak memandang ringan perkara itu dan tidak mahu perbuatan tersebut berlaku di Sabah," katanya. Difahamkan polis telah memulakan siasatan mereka terhadap dakwaan itu dan sedang mengenal pasti gambar-gambar tersebut. Pada 31 Mei lalu, gambar sekumpulan pelancong Eropah yang berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu menjadi viral dan mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat Sabah dengan menganggap perbuatan itu kurang sopan. Empat pelancong yang dikenal pasti termasuk seorang warga British, dua Kanada dan seorang Belanda didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara tiga hari kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam. Mereka juga diperintah meninggalkan Sabah dengan segera.