suria

Jual Minuman Berperisa Dadah, Lima Suspek Diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita tempatan dipercayai anggota sindiket menjual minuman botol berperisa dadah dengan nilai rampasan sebanyak RM1.14 juta di sekitar Kepong dan Gombak, pada Rabu.

Dalam operasi bermula 8.45 malam Selasa sehingga 7 pagi semalam itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia 33 hingga 43 tahun dalam tiga serbuan berasingan.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki di Taman Beringin, Kepong.

"Hasil soal siasat membawa kepada penemuan empat lagi anggota sindiket yang berada di sebuah kondominium di Gombak dan Kepong.

"Polis berjaya merampas lebih 1,200 botol minuman dicampur dengan dadah jenis ecstasy dan ketamin, selain itu lebih 10,000 biji pil ecstasy, pil erimin dan dadah ketamin turut dirampas dalam operasi itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak enam bulan lepas dan minuman dadah berperisa itu dijual dengan harga RM350 sebotol.

"Mereka menjadikan kondominium sebagai pusat memproses dadah dan sasaran mereka adalah pengunjung di pusat hiburan.

"Kejayaan ini hasil maklumat orang ramai yang secara berterusan membantu pihak polis untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah," katanya.

Mohd Dzuraidi berkata kesemua suspek direman tujuh hari sejak Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dari Januari tahun ini sehingga 20 Okt lalu pihaknya merampas pelbagai dadah bernilai RM215.58 juta di seluruh negara.

"Kita turut menahan 149,050 individu dalam tempoh berkenaan dengan nilai sitaan harta lebih RM59 juta," katanya.

Dadah, Bukit Aman

Artikel Lain