suria

PAU: Umno Cadang Guna Biometrik Untuk Kawal Akses Wakil Media

Ab Rauf

KUALA LUMPUR: Umno bakal meningkatkan sistem kawalan keselamatan dikalangan petugas media yang akan membuat liputan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-69 pada Disember depan.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk  Ab Rauf Yusoh berkata, sistem biometrik bakal digunakan bagi mengecam pengenalan diri wakil media berdaftar yang diiktiraf untuk membuat liputan.

"Kaedah ini bertujuan mengelakkan berlakunya pencerobohan akses kalangan wakil media ke dewan-dewan persidangan. Kita tak mahu media terlalu bebas keluar masuk tanpa kawalan.

"Bagaimanapun ia masih di peringkat cadangan. Umno belum memuktamadkan lagi sama ada ia sesuai dilaksanakan atau tidak," katanya selepas sesi taklimat bersama media sempena PAU di PWTC di sini, Khamis.

PAU 2015 dijadual berlangsung bermula 8 hingga 12 Disember depan.

Selain itu Ab Rauf berkata, pihaknya juga sedang mengkaji kemungkinan untuk melewatkan waktu siaran sesi persidangan untuk tontonan orang ramai di ruang lobi awam PWTC.

"Kita bercadang untuk elak berlakunya laporan awal oleh portal berita yang tidak diiktiraf hingga mendahului pihak media yang dibenarkan membuat liputan.

"Delay telecast ini hanya mungkin diperkenalkan di ruang awam lobi PWTC. Ini kerana wartawan portal berita bebas berada di ruang berkenaan walaupun tidak menerima akses," katanya.

Mengulas mengenai sambutan dikalangan wakil media bagi membuat liputan, Ab Rauf berkata sehingga kini pihaknya menerima 593 permohonan yang dibuat secara dalam talian.

"Kita menjangkakan jumlah itu akan meningkat sehingga 2,000 permohonan menjelang tarikh akhir pada 31 Oktober ini," katanya.

Umno, PAU, Biometrik

Artikel Berikut

Artikel Lain