suria

Normal Jumlah Pelancong Turun Selepas Tahun Melawat Malaysia

Datuk Seri Nazri Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Penurunan jumlah pelancong tahun ini adalah sesuatu yang normal selepas negara mengadakan Tahun Melawat Malaysia tahun lepas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata pengurangan sembilan peratus pelancong dari Januari hingga Jun tahun ini tidak harus dilihat sebagai luar biasa tetapi suatu keadaan yang normal selepas mengadakan tahun khas.

"Tahun 2014 adalah tahun istimewa untuk kita dengan peningkatan dalam ketibaan pelancong," katanya dalam sidang media sempena Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2015 di sini Khamis.

"Masalahnya adalah tahun selepas diadakan Tahun Melawat Malaysia, jumlah pelancongan akan menurun seperti 2015 yang sama dengan tahun lain.

"Jadi jika kita membandingkan jumlahnya, ia pasti menunjukkan pengurangan pelancong bagi tempoh Januari hingga Jun," katanya.

Namun Nazri berharap sasaran 28 juta pelancong untuk 2015 akan dicapai pada hujung tahun ini walaupun ketika kelembapan ekonomi dunia dan masalah jerebu di negara ini.

"Kita masih mempunyai dua bulan sebelum tahun ini berakhir, kita masih boleh cuba mencapai sasaran 28 juta pelancong...tahun lalu jumlah pelancong adalah 27.4 juta orang," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai promosi itu, Nazri berkata edisi kesembilan kali ini menyaksikan 250 pengusaha menampilkan produk mereka di Kompleks Kraf di Jalan Conlay di sini dari 29 Okt hingga 2 Nov.

"Saya harap promosi ini akan menggalakkan masyarakat negara ini memilih dan mengutamakan produk kraf tempatan dalam kehidupan seharian.

"Secara tidak langsung pengguna akan turut membantu dan mempopularkan produk kraf yang dihasilkan usahawan kraf negara ini sebagai hiasan dalaman, seni taman termasuk lanskap."

Artikel Lain